KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi ini lebih rendah.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,573.38 berbanding 1,578.6 pada urus niaga 11 pagi.
Indeks utama dibuka 4.89 mata lebih tinggi pada 1,572.03 berbanding 1,567.14 ketika ditutup pada petang Isnin dan bergerak antara 1,571.17 dan 1,583.43 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 606 berbalas 474 manakala 442 kaunter tidak berubah, 631 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 7.81 bilion unit bernilai RM3.73 bilion.
Maybank Investment Bank Bhd berkata selepas permulaan yang lemah, pasaran akan terus diniagakan dalam mod yang berhati-hati dengan perkembangan vaksin COVID-19 terus menjejaskan indeks berkaitan pembuat sarung tangan.
Saham pengeluar sarung tangan Top Glove menyusut 10 sen kepada RM4.80 dan Supermax merosot 14 sen kepada RM4.22, tetapi Hartalega menokok satu sen kepada RM9.39.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi lain, Maybank naik empat sen kepada RM8.10, Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat lima sen kepada RM4.25 dan RM4.27, sementara Petronas Chemicals mengukuh 13 sen kepada RM7.64, TNB menambah lapan sen kepada RM10. 40 dan IHH Healthcare melonjak 23 sen kepada RM5.52.
Sementara itu, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM18 dan Press Metal susut lima sen kepada RM9.70.
Saham paling cergas, Straits Inter Logistics meningkat lima sen kepada 25 sen, Aimflex dan Ablegroup masing-masing naik 2.5 sen kepada 27.5 sen dan 21.5 sen, sementara Dynaciate tidak berubah pada 13.5 sen, GFM Services turun 4.5 sen kepada 36 sen dan AirAsia X turun setengah sen kepada sembilan sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 29.32 mata kepada 11,591.53, Indeks FBMT 100 meningkat 38.36 mata kepada 11,286.65 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 16.98 mata kepada 12,905.78.
FBM 70 mengembang 28.08 mata kepada 15,501.41 dan FBM ACE merosot 39.91 mata kepada 10,665.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 106.86 mata kepada 15,066.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.63 mata kepada 184.75 dan Indeks Perladangan merosot 13.95 mata kepada 7,138.24.
– BERNAMA

