KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Penganalisis mengekalkan saranan positif terhadap Telekom Malaysia Bhd (TM) selepas syarikat telekomunikasi bersepadu itu mencatatkan keputusan yang kukuh untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020.
TM, dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, berkata keuntungan bersihnya untuk tahun kewangan tersebut meningkat kepada RM1.02 bilion berbanding RM632.68 juta pada tahun kewangan 2019.
Pada suku keempat tahun kewangan 2020, keuntungan bersih dicatatkan sebanyak RM259.4 juta daripada kerugian bersih sebanyak RM51.1 juta pada suku tahun sama sebelum ini, berikutan kos operasi yang rendah dan keuntungan lain.
Kenanga Research, dalam nota pada Khamis, meningkatkan saranan syarikat kepada “mengatasi pasaran” daripada “prestasi pasaran” dengan harga sasaran aliran tunai diskaun yang tidak berubah (DCF-TP) sebanyak RM6.85.
“Kami melihat pembetulan harga saham baru-baru ini sebagai tempoh yang tepat untuk meningkat, berikutan usaha berterusan TM untuk mencatatkan keuntungan, selain pendedahannya kepada jalur lebar gentian, 5G, perkhidmatan awan dan pusat data, memberikan peluang kepada pertumbuhan.” kata penganalisisnya, Clement Chua.
Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan “beli” ke atas TM dengan TP daripada DCF lebih tinggi sebanyak RM7.30 daripada RM7.20.
Penganalisisnya, Jeffrey Tan menjangka pertumbuhan yang lebih kukuh dalam internet dan data atau pendapatan borong akan berterusan, didorong oleh langganan gentian yang lebih tinggi dan sasaran di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pengawasan kos yang tinggi dan peningkatan produktiviti.
“TM adalah penerima manfaat utama rangka tindakan MyDigital dengan permintaan ‘fibre backhaul’ yang meningkat, dengan status penyedia perkhidmatan awan domestiknya,” katanya.
Maybank Investment Bank Bhd turut mengekalkan saranan “beli” ke atas TM dengan TP lebih tinggi sebanyak 7.40 daripada RM5.50 sebelum ini.
“Dengan TM menjadi penerima manfaat kepada bekerja dari rumah dan penggunaan 5G, kami melihat ruang untuk penilaian berkembang,” kata penganalisisnya, Tan Chi Wei.
Pada 10.02 pagi, saham TM naik satu sen kepada RM6.24 dengan 1.13 juta saham diniagakan.
— BERNAMA




