KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd akan mempertimbangkan permohonan untuk tebaran pegangan sekuriti awam yang lebih rendah dengan penyenaraian minimum semasa sebanyak 25 peratus berdasarkan kriteria tertentu.
Keperluan Penyenaraian di Pasaran Utama dan ACE telah dipinda bagi mencerminkan pertimbangan dasar bagi penerimaan tebaran awam yang lebih rendah, menurut bursa dalam kenyataan hari ini.
Menerusi pindaan tebaran awam yang akan berkuatkuasa mulai 1 Mac, Bursa Malaysia akan membuat pertimbangan berdasarkan penilaian yang seimbang, merangkumi kriteria kuantitatif dan kualitatif.
Menurut bursa, dari segi saiz dan tahap mudah tunai bagi pemohon atau penerbit disenarai, tebaran awam minimum yang diterima syarikat dengan permodalan pasaran sebanyak RM3 bilion atau lebih ialah 15 peratus.
Penerimaan minimum bagi syarikat dengan permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion, namun di bawah RM3 bilion ialah 20 peratus.
Kriteria lain adalah kesesuaian dan rasional permohonan termasuk sekiranya mudah tunai mencukupi, ketertiban dagangan sekuriti, tingkah laku tadbir urus korporat yang baik dan rekod pematuhan penerbit/pemohon yang disenaraikan dan para pengarahnya, serta justifikasi yang memerlukan tebaran awam yang lebih rendah.
“Pindaan tebaran awam ini akan meningkatkan ketelusan dan memberikan peraturan jelas dan kepastian mengenai pertimbangan dasar bursa dalam menerima tebaran awam lebih rendah.
“Bagaimanapun, penerbit tersenarai yang layak dan mereka yang diberikan tebaran awam lebih rendah digalakkan untuk mengekalkan tebaran awam sekurang-kurangnya 25 peratus untuk menggalakkan penyertaan meluas para pelabur dan lebih banyak mudah tunai,” kata Bursa Malaysia.
— BERNAMA




