KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Selasa lebih tinggi seiring dengan prestasi di bursa-bursa serantau yang lain, didorong oleh keyakinan terhadap ekuiti Amerika Syarikat, kata para peniaga.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mengukuh 3.11 mata kepada 1,611.18 selepas bergerak antara 1,606.55 dan 1,613.01 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Ketika dibuka pagi ini, indeks utama lebih tinggi 3.97 mata kepada 1,612.04 berbanding 1,608.07 ketika ditutup pada petang Isnin.
Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 674 berbalas 434 sementara 410 kaunter tidak berubah, 643 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah daganga ialah 8.28 bilion unit bernilai RM3.06 bilion.
Di bursa serantau, Nikkei Jepun naik 1.76 peratus menjadi 30,614.43, Hang Seng Hong Kong meningkat 1.8 peratus kepada 30,717.38 dan STI Singapura menokok 0.27 peratus kepada 2,939.44.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini, ia berkata Wall Street ditutup semalam sempena Hari Presiden.
“Namun begitu, keyakinan terhadap ekuiti AS tetap tinggi dengan ketiga-tiga indeks niaga hadapan utama pada masa ini diniagakan dalam zon positif dengan niaga hadapan Purata Perindustrian Dow Jones kini hampir 180 mata lebih tinggi.
“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan meningkat lebih tinggi hari ini didorong oleh momentum pembelian yang berterusan,” katanya.
Di pasaran tempatan, Rakuten menyatakan aliran menaik semalam adalah secara meluas dan ia yakin kecairan akan terus memainkan peranannya untuk menyokong FBM KLCI hari ini.
“Dengan yang demikian, kami menjangkakan indeks akan mencecah paras 1,615 hari ini,” tambahnya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM8.17, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.22, PChem meningkat 24 sen kepada RM7.80 sementara Tenaga turun 14 sen kepada RM10.04 dan Top Glove susut dua sen kepada RM6. 15.
Saham paling cergas, DGB Asia naik lima sen kepada 14.5 sen, ARB meningkat 4.5 sen kepada 38 sen, Dataprep naik 23 sen kepada 49 sen sementara Dagang NeXchange turun 2.5 sen kepada 51 sen dan Techna setengah sen lebih rendah pada 17 sen .
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 40.09 mata kepada 11,776.96, Indeks FBMT 100 meningkat 33.39 mata kepada 11,474.51 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 27.68 mata pada 13,237.89.
FBM 70 meningkat 88.41 mata kepada 15,440.26 dan FBM ACE melonjak 125.68 mata kepada 11,356.93.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 77.22 mata kepada 15,193.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.96 mata kepada 184.77 sementara Indeks Perladangan turun 28.24 mata kepada 7,167.66.
— BERNAMA

