KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Kontrak bernilai RM1.85 bilion yang baharu diperoleh serta pengukuhan harga minyak melonjakkan saham Sapura Energy Bhd (SEB) pada awal dagangan pagi Khamis.
Pada pukul 10.32 pagi, SEB, kaunter paling cergas, meningkat setengah sen kepada 13 sen dengan 202.88 juta saham diniagakan.
MIDF Research dalam nota penyelidikannya menyatakan ia merupakan permulaan yang baik kepada tahun kewangan 2022 sementara perolehan kontrak SEB dianggarkan bernilai sebanyak RM12.85 bilion.
“Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada anggaran unjuran tahun kewangan 2021-2022 berikutan pengumuman kontrak baharu yang diperoleh memandangkan kontrak itu termasuk dalam andaian perolehan kontrak untuk tahun sebanyak RM4.0 bilion,” jelasnya.
MIDF Research mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran tidak berubah pada 16 sen.
“Kami terus melihat prospek masa depan SEB secara positif memandangkan persekitaran operasi seluruh dunia telah semakin meningkat sejak April 2020 dan kami menjangkakan margin yang lebih baik bersama perolehan kontrak yang pasti akan membantu meningkatkan pendapatannya dalam bergerak ke hadapan.
“Juga, kami perhatikan dengan kejayaan mendapatkan kontrak daripada Saudi Aramco, ia mungkin membuka pintu kepada lebih banyak peluang daripada gergasi minyak,” katanya.
— BERNAMA




