KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Kaunter kewangan membantu prestasi di Bursa Malaysia hari ini, melonjakkan indeks utama sebanyak 0.67 peratus untuk ditutup pada paras tinggi seharian.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 10.72 mata kepada 1,596.85 berbanding 1,586.13 ketika ditutup petang Selasa.
Pada pembukaan pagi ini, indeks utama meningkat 0.81 mata kepada 1,586.94 dan bergerak antara 1,586.87 dan 1,596.85 sepanjang sesi urus niaga hari ini.
Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim, kaunter perbankan seperti CIMB, Hong Leong sejak kebelakangan ini telah menyaksikan kenaikan yang membanggakan dan memandangkan sektor perbankan mempunyai wajaran tinggi di FBM KLCI, ia akan mengimbangi saham yang rugi yang mempunyai wajaran yang rendah dalam indeks.
Mengenai kaunter-kaunter minyak dan gas pula, beliau berkata petunjuk teknikal menandakan minyak telah terlebih beli dan sudah tiba masanya untuk berlaku pembetulan.
Beliau menambah terdapat kebimbangan bahawa harga minyak yang tinggi boleh mendorong pengeluar mengeluarkan lebih banyak minyak dan ini boleh menyebabkan harga minyak jatuh.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent menyusut 0.11 peratus kepada US$60.02 setong manakala minyak mentah WTI turun 0.22 peratus kepada US$58.23 satu tong.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 627 berbalas 504 manakala 468 kaunter tidak berubah, 550 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 4.84 bilion unit bernilai RM3.61 bilion daripada 7.18 bilion unit bernilai RM4.71 bilion yang dicatatkan pada penutupan semalam.
Kaunter kewangan berwajaran tinggi, Maybank dan PBBank masing-masing meningkat lapan sen kepada RM8.03 dan RM4.22, sementara CIMB menambah 13 sen kepada RM4.19 dan HLBank mengukuh 66 sen kepada RM18.22. Kaunter-kaunter ini menyumbang 10.04 mata kepada indeks.
Sementara itu, saham berwajaran tinggi lain, PChem tidak berubah pada RM7.56, Tenaga naik lima sen kepada RM9.75, Top Glove turun lima sen kepada RM6.15 tetapi IHH naik satu sen kepada RM5.13.
Saham paling cergas, AAX setengah sen lebih tinggi pada tujuh sen, DNEX turun dua sen kepada 34 sen, EAH tidak berubah pada 3.5 sen dan IRIS turun 1.5 sen pada 37 sen.
Antara kaunter paling untung ialah AEONCR yang meningkat 36 sen kepada RM11.36, Hartalega menambah 32 sen pada RM12.78 dan F&N mengukuh 30 sen kepada RM30.72.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 58.85 mata kepada 11,618.54, Indeks FBMT 100 menambah 60.41 mata kepada 11,345.22 dan FBM 70 meningkat 19.87 mata kepada 15,161.15.
Tetapi Indeks FBM Emas Syariah lega 1.81 mata kepada 13,052.96 dan FBM ACE susut 67.04 mata kepada 10,747.95.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 269.06 mata kepada 15,161.15, Indeks Perladangan meningkat 36.47 mata kepada 7,184.19 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.43 mata menjadi 180.33.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 3.21 bilion saham bernilai RM2.97 bilion daripada 4.69 bilion saham bernilai RM3.69 bilion yang dicatatkan pada Selasa.
Perolehan waran tinggi sedikit kepada 321.3 juta unit bernilai RM53.76 juta daripada 303.11 juta unit bernilai RM53.0 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menyusut kepada 1.31 bilion saham bernilai RM592.24 juta daripada 2.19 bilion saham bernilai RM964.88 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 621.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (993.4 juta), pembinaan (112.74 juta), teknologi (529.23 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (169.53 juta), hartanah (280.22 juta), perladangan (32.34 juta), REIT (9.02 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (273.69 juta), penjagaan kesihatan (41.09 juta), telekomunikasi dan media (45.94 juta), pengangkutan dan logistik (63.47 juta) dan utiliti (33.24 juta).
– BERNAMA

