KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) – Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) telah memperoleh dua kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan nilai keseluruhan RM821.32 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, kumpulan pembinaan awam bersepadu itu berkata satu kontrak diperoleh bagi projek pembangunan hartanah bernilai RM421.97 juta di Kuching, manakala satu lagi projek kejuruteraan dan pembinaan bernilai RM399.35 juta di negara Teluk Qatar.
“Perjanjian rasmi bagi kedua-dua kontrak itu akan dilaksanakan pada masa yang sesuai,” katanya sambil menambah kontrak yang diperoleh itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan SCIB.
Pelanggan bagi kontrak di Kuching ialah Lestari Asiabina Sdn Bhd bagi pembangunan menara pembangunan bercampur 20 tingkat, kondominium dan pangsapuri, sebuah rumah kelab dan rumah kedai, bagi tempoh 108 bulan, yang bersamaan empat peringkat selama 27 bulan.
Kontrak di Qatar telah diberikan kepada SCIB International (Labuan) Ltd., anak syarikat milik penuh SCIB, untuk kerja kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan paip di pengembangan gas Medan Utara Qatar.
Pelanggan di Qatar merupakan Interceptor Trading & Contracting Co.W.L.L., dan kontrak tersebut dijadualkan selama 30 bulan, dari Feb 2021 hingga Julai 2023.
– BERNAMA




