KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Saham di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, berbanding prestasi pasaran serantau yang lebih baik, seiring dengan pengukuhan Wall Street susulan pemulihan ekonomi global yang mantap.
Nikkei Jepun 225 melonjak 1.54 peratus kepada 28,779.19, Hang Seng Hong Kong menambah 0.60 peratus kepada 29,288.68, manakala Straits Times Singapura meraih 0.07 peratus kepada 2,907.06.
Sebaliknya, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) lemah sebanyak 6.27 mata atau 0.39 peratus kepada 1,578.63 pada 5 petang tadi berbanding semasa ditutup semalam iaitu 1,584.90.
Indeks barometer dibuka 2.8 mata lebih tinggi pada 1,587.70 dan berlegar antara paras rendah 1,574.69 dan tinggi 1,590.47 sepanjang hari ini.
Di pasaran yang lebih lebar, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 549 berbanding 532, manakala 504 kaunter tidak berubah, 545 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 6.09 bilion unit bernilai RM4.15 bilion daripada 8.04 bilion unit bernilai RM4.17 bilion yang dicatat pada penutupan semalam.
Bursa tempatan riuh dengan aktiviti pengambilan untung hari ini menjelang hujung minggu selepas permintaan bagi membeli saham-saham pengeluar sarung tangan getah yang didorong oleh media sosial mula pudar.
Bagaimanapun, bursa tempatan telah mendapat sokongan daripada kaunter permodalan yang kecil, menyebabkan indeks Permodalan Kecil FTSE Bursa Malaysia meningkat 0.35 peratus kepada 65.22.
Sementara itu, indeks penjagaan kesihatan turun hampir satu peratus atau 32.42 mata untuk ditutup kepada 3,577.50 selepas saham-saham wajaran tinggi dalam sektor kesihatan seperti IHH, Hartalega dan Supermax masing-masing, berkurangan sebanyak 12 sen kepada RM5.07, RM13.24 dan RM6.67, manakala Top Glove (TG) hilang 10 sen kepada RM6.61.
Sekali gus, kaunter-kaunter tersebut mengheret indeks komposit turun sebanyak 5.1 mata.
“Selain sekadar pengambilan untung, kegilaan pembelian bagi mendapatkan saham-saham sarung tangan getah yang didorong media sosial terus mereda menyebabkan kaunter-kaunter sarung tangan getah seperti TG, Hartalega dan Supermax merosot hari ini,” kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada Bernama.
Beliau berkata pelan imunisasi negara mungkin telah menjejaskan lagi penjualan di kaunter sarung tangan, kerana ia menimbulkan kebimbangan mengenai penurunan permintaan terhadap produk tersebut.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang ditetapkan untuk dilancarkan pada akhir Februari, ianya merupakan usaha vaksinasi terbesar negara yang pernah diwujudkan.
Muhyiddin berkata, sebanyak 80 peratus penduduk negara ini, atau kira-kira 26.5 juta orang, dijangka menerima vaksin tersebut secara percuma.
Sementara itu, di kalangan saham-saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM7.86, Public Bank naik empat sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals meningkat 14 sen kepada RM7.35, manakala Tenaga tidak berubah pada RM9.70.
Di kalangan yang aktif, I-Stone menambah 1.5 sen kepada 25 sen, Luster merosot satu sen kepada 21.5 sen dan Kumpulan QES adalah dua sen lebih lemah kepada 49.5 sen.
Kaunter paling untung adalah Genetec, yang melonjak 67 sen kepada RM4.40, Kumpulan HL High-Tech yang menokok 51 sen kepada RM2.46 dan Teo Guan Lee Corp iaitu 35 sen lebih tinggi kepada RM1.53.
Nestle mendahului dalam kaunter rugi, jatuh RM1 kepada RM137.00, diikuti Computer Forms yang susut 58 sen kepada RM2.38 dan Danainfra yang berkurangan sebanyak 50 sen kepada RM103.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 27.93 mata kepada 11,502.32, Indeks FBMT 100 merosot 33.28 mata kepada 11,229.56 dan Indeks Syariah FBM Emas adalah 32.55 mata lebih rendah kepada 13,062.36.
FBM 70 merekodkan kerugian sebanyak 1.13 mata kepada 15,059.82 dan FBM ACE berkurangan 55.60 mata kepada 10,861.23.
Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 23 mata kepada 14,576.90, Indeks Perladangan merosot 67.06 mata kepada 7,140.71 manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian adalah 1.84 mata lebih baik kepada 176.55.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama jatuh kepada 3.32 bilion saham bernilai RM2.9 bilion daripada 4.57 bilion saham bernilai RM3.23 bilion yang dicatat pada penutupan Khamis.
Jumlah dagangan waran menyempit kepada 345.55 juta unit bernilai RM61.09 juta berbanding 425.49 juta unit bernilai RM71.42 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 2.41 bilion saham bernilai RM1.19 bilion daripada 3.04 bilion saham bernilai RM868.18 juta semalam.
Perkhidmatan dan produk pengguna menyumbang 397.18 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, perkhidmatan dan produk perindustrian (1.15 bilion), pembinaan (164.78 juta), teknologi (613.33 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (172.99 juta), hartanah (176.73 juta), perladangan (43.65 juta), REIT (10.63 juta), dana tertutup (15,800), tenaga (357.84 juta), penjagaan kesihatan (44.56 juta), telekomunikasi dan media (75.78 juta), pengangkutan dan logistik (78.73 juta) serta utiliti (28.87 juta).
— BERNAMA

