KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Subsidiari milik penuh Ranhill Utilities Bhd, Ranhill Water Services Sdn Bhd telah mendapat kontrak pembangunan bekalan air bernilai RM7.54 juta daripada Sunan Jaya Sdn Bhd.
Kontrak itu adalah sebahagian daripada kerja-kerja infrastruktur yang sedang dilaksanakan bagi membangunkan Taman Perindustrian Kayu Muar di Johor, kata syarikat utiliti air dan tenaga itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ranhill Utilities berkata kontrak tersebut merangkumi pembekalan buruh, bahan-bahan, pengurusan serta pelaksanaan, antara lain.
Skopnya juga melibatkan pembekalan dan pemasangan pelbagai kepanjangan paip keluli daripada pembekal air, Ranhill SAJ Sdn Bhd kepada takungan perkhidmatan.
Ranhill SAJ, yang dimiliki sebanyak 80 peratus oleh Ranhill Utilities, adalah pembekal air terawat tunggal di Johor.
“Kontrak itu akan bermula pada 3 Feb dan dijangka disiapkan dalam tempoh lapan bulan,” katanya, sambil menambah kontrak berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021.
Ranhill Utilities berkata kontrak itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Johor, memandangkan Sunan Jaya adalah kontraktor utama yang dilantik oleh bahagian hartanah dan infrastruktur konglomerat milik kerajaan negeri.
— BERNAMA

