KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Perisai Offshore Sdn Bhd (POSB), anak syarikat Icon Offshore Bhd memperoleh kontrak menyediakan pelantar penggerudian bernilai US$13.3 juta (US$1=RM4.05) daripada Petrofac (Malaysia-PM304) Ltd.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata program penggerudian itu dijangka bermula pada April tahun ini.
Tempoh utama bagi program itu ialah 180 hari dengan lapan telaga, dengan pilihan lanjutan tiga telaga.
POSB adalah anak syarikat baharu yang baru diambil alih oleh Icon Offshore menerusi pembelian 51 peratus saham daripada Perisai Petroleum Teknologi Bhd (PPTB).
Pengambilalihan itu termasuk pelantar Perisai Pacific 101 dan juga pembelian hak harta intelektual untuk mengendalikan pelantar tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Offshore Datuk Seri Hadian Hashim dalam satu kenyataan berasingan berkata pengambilalihan PPTB dan kontak daripada Petrofac itu akan memberi sumbangan positif kepada pendpatan Icon Offshore dalam tempoh terdekat ini.
“Dengan memanfaatkan aset sedia ada kami (kapal sokongan luar pantai) dan hubungan baik dengan syarikat minyak utama, kami bakal mentransformasikan Icon Offshore menjadi penyedia perkhidmatan bersepadu.
“Kami juga dapat meluaskan penawaran perkhidmatan kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami kerana kami akan dapat menyediakan penyelesaian yang holistik dan bernilai tinggi, daripada hanya menawarkan aset untuk sewaan,” katanya.
— BERNAMA



