KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Margin pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corporation Bhd dijangka meningkat pada suku akan datang, didorong oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi serta jumlah sumbangan kapasiti daripada kemudahan pengeluaran 12B, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.
Kilang 12B itu siap pada Disember 2020 yang menyaksikan peningkatan kapasiti daripada 24 bilion helai sarung tangan getah setahun (ppa) kepada 26.2 bilion.
“Kami menjangkakan Supermax akan mengagihkan dividen khas dalam separuh kedua unjuran tahun kewangan 2021 (2HFY21F) pada Jun ini yang berkemungkinan dalam bentuk tunai mahu pun saham,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan pada Khamis.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan belian bagi saham pengeluar sarung tangan getah itu pada harga sasaran RM10.60 berdasarkan prospek pendapatan lebih kukuh bagi suku ketiga unjuran tahun kewangan 2021.
Ini juga didorong oleh jangkaan membabitkan pemberian dividen khas serta laporan berita yang positif membabitkan usaha syarikat itu dalam pembinaan kilang pengeluarannya di Amerika Syarikat.
Paras tunai bersih syarikat itu melonjak kepada RM3.41 bilion (RM1.32 sesaham) setakat akhir Disember 2020 berbanding RM856 juta pada akhir Jun 2020.
Selain itu, ia turut memegang 151.9 juta saham perbendaharaan yang boleh dimanfaatkan sebagai dividen dalam bentuk saham atau bagi tujuan penyenaraian di Bursa Singapura.
Pada 10.23 pagi Khamis, saham-saham Supermax susut enam sen kepada RM6.72 dengan 7.23 juta saham diniagakan.
— BERNAMA




