KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Kegiatan pengambilan untung selepas bursa tempatan mencatatkan keuntungan pada sesi-sesi urus niaga sebelum ini menyaksikan Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan awal hari ini lebih rendah.
Antara yang terjejas ialah indeks teknologi dan tenaga (yang mencatatkan kenaikan melebihi tiga peratus pada penutupan Rabu), produk perindustrian, perkhidmatan serta perladangan.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut empat mata kepada atau 0.253 peratus kepada 1,578.99 selepas berlegar antara 1,577.07 dan 1,586.55 sepanjang sesi pagi.
Pagi ini, indeks utama dibuka 0.89 mata lebih tinggi kepada 1,582.10 berbanding 1,582.99 ketika ditutup pada petang Rabu.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 515 berbalas 486 manakala 437 kaunter tidak berubah, 692 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.04 bilion unit bernilai RM2.17 bilion.
Kaunter perladangan berwajaran tinggi, KLK merosot 12 sen to RM23.64 manakala Sime Darby Plantation lebih rendah sebanyak dua sen kepada RM4.95.
Kedua-dua kaunter perladangan ini jatuh meskipun harga minyak sawit mentah diniagakan tinggi melepasi paras RM3,000.
Penganalisis pula mengunjurkan harga akan bergerak lebih tinggi dan ini amat baik untuk syarikat-syarikat berkenaan.
Menurut CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya, ia meramalkan harga MSM diniagakan antara RM3,000 – RM3,500 satu tan bulan ini susulan unjuran inventori yang rendah di Malaysia dan ini akan mengambil masa untuk mengumpulnya semula.
Ia menganggarkan inventori minyak sawit Malaysia mungkin mengembang 7.5 peratus bulan ke bulan (tetapi merosot 22.5 peratus tahun ke tahun) kepada 1.36 juta tan pada akhir Januari 2021.
Sementara itu, dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM7.88, Top Glove menyusut 18 sen kepada RM6.64, Public Bank tidak berubah pada RM4.10 sementara Petronas Chemicals satu sen lebih tinggi pada RM7.11.
Kaunter paling cergas, Lambo turun setengah sen kepada 2.5 sen, Luster Industries naik 1.5 sen kepada 23.5 sen dan PA Resources menokok satu sen kepada 24.5 sen.
Kaunter berkaitan teknologi yang muncul sebagai kaunter paling untung semalam berubah menjadi kaunter paling kerugian pada sesi ini.
Pentamaster dan Frontken masing-masing turun 17 sen kepada RM6.50 dan RM4.79, sementara MI Technovation merosot 16 sen kepada RM5.04.
Sebaliknya, Malaysian Pacific iaitu kaunter berkaitan teknologi terus berada di kedudukan teratas hari ini mengukuh RM1 kepada RM36.94, diikuti oleh syarikat pengangkutan See Hup Consolidation menokok 48 sen kepada RM2.10 sen dan syarikat produk dan perkhidmatan pengguna Khind naik 42 sen kepada RM3.88.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 6.02 mata kepada 11,483.29 dan Indeks FBMT 100 susut 6.60 mata kepada 11,218.19.
Indeks FBM Emas Syariah merosot 19.62 mata kepada 13,030.28, FBM ACE susut 17.79 mata kepada 10,927.35 tetapi FBM 70 naik 75.65 mata kepada 14,990.96.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.26 mata kepada 14,561.43, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata kepada 173.66 dan Indeks Perladangan menyusut 4.06 mata kepada 7,170.30.
— BERNAMA

