KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka didagangkan sekitar RM3,000-RM3,500 satu tan bulan ini berikutan penurunan paras inventori di Malaysia yang akan mengambil masa lama meningkat semula, demikian menurut CGS-CIMB.
Dalam nota penyelidikan pada Khamis, ia menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia berkemungkinan mencatat pertumbuhan sebanyak 7.5 peratus bulan ke bulan namun susut 22.5 peratus tahun ke tahun kepada 1.36 juta tan pada akhir Januar 2021.
“Ini ternyata berbeza daripada sejarah aliran yang mana stok simpanan minyak sawit lazimnya susut pada Januari iaitu purata 8.0 peratus bulan ke bulan dalam tempoh 10 tahun lepas. Keadaan itu mungkin disebabkan oleh keperluan mendadak untuk pengeksportan minyak sawit pada Disember menjelang pelaksanaan semula cukai eksport MSM sebanyak 8.0 peratus di Malaysia pada 1 Januari 2021.
“Selain itu, paras purata simpanan minyak sawit juga telah mencecah 2.1 juta tan sejak 10 tahun lepas. Maklumat rasmi mengenainya akan diumumkan pada 10 Februari ini,” katanya.
Menurutnya, secara purata, harga MSM meningkat sebanyak 3.5 peratus bulan ke bulan dan 24 peratus tahun ke tahun kepada RM3,748 satu tan pada Januari berikutan kebimbangan terhadap paras inventori minyak sawit yang rendah.
Malah, hasil dapatan tinjauan kawasan minyak sawit oleh kumpulan niaga hadapan CGS-CIMB, mendapati pengeluaran MSM Malaysia berkemungkinan susut 14 peratus bulan ke bulan (2.1 peratus tahun ke tahun) kepada 1.15 juta tan pada Januari 2021.
Angka tersebut adalah lebih tinggi daripada aliran atau trend sejarah sebanyak 12.5 peratus bulan ke bulan bagi output Januari dalam tempoh 10 tahun lepas.
“Tinjauan kami menunjukkan estet-estet di Sabah mencatat penyusutan pengeluaran terbesar bagi bulan ke bulan,” katanya.
Dalam pada itu, pengeluaran Januari yang diunjurkan pada 1.5 juta tan juga adalah yang terendah daripada purata 10 tahun sebanyak 1.35 juta tan.
CGS-CIMB berkata pengeluaran lebih rendah berbanding angka-angka sebelum ini juga mungkin disebabkan oleh masalah kekurangan pekerja asing, faktor bermusim dan hujan yang lebih lebat daripada biasa (akibat kemungkinan fenomena cuaca La Nina) di beberapa bahagian negara pada Januari.
Menurutnya, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) Datuk Nageeb Abdul Wahab sebelum ini berkata, tindakan pembekuan pengambilan pekerja asing akibat penularan pandemik COVID-19 telah menyebabkan kemerosotan tenaga kerja perladangan sehingga dua kali ganda kepada sekitar 70,000 daripada 36,000 orang, setahun lepas.
“Beliau menjangkakan purata kerugian pengeluaran bagi estet Malaysia adalah sekitar 20 peratus akibat masalah kekurangan pekerja itu,” katanya.
Sementara itu, eksport minyak sawit juga berkemungkinan susut 35 peratus bagi bulan ke bulan serta 13 peratus bagi tahun ke tahun untuk Januari 2021 sepertimana berdasarkan statistik eksport oleh pihak penilai kargo.
Kalangan jurunilai kargo seperti Intertek Testing Services menganggarkan penyusutan eksport sebanyak 37.2 peratus bulan ke bulan pada Januari manakala Amspec Malaysia (-36.4 peratus bulan ke bulan), dan SGS (-32.07 peratus bulan ke bulan).
Dalam pada itu, CGS-CIMB juga menjangkakan bekalan minyak sawit akan pulih pada suku kedua apabila keadaan cuaca kembali pulih.
Ia juga menyifatkan peningkatan duti import di India ke atas MSM boleh menjejaskan permintaan dalam jangka terdekat ini.
India bertindak menaikkan duti import efektif ke atas MSM kepada 35.75 peratus yang berkuat kuasa 2 Februari selepas melakukan semakan semula duti import serta mengenakan ses baharu.
Bagaimanapun, tiada sebarang perubahan membabitkan duti import minyak kacang soya mentah dan minyak bunga matahari mentah yang kekal pada 38.5 peratus.
— BERNAMA




