KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Aktiviti membeli pada minit terakhir dagangan terutama membabitkan kaunter bermodal kecil serta berwajaran tinggi terpilih membantu melonjakkan Bursa Malaysia untuk mengakhiri sesi dagangan hari ini lebih tinggi.
Belian dilihat pada kaunter berkaitan produk perindustrian dan perkhidmatan, hartanah dan pengangkutan serta logistik.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 1.91 mata atau 0.12 peratus kepada 1,584.90 daripada 1,582.99 ketika ditutup petang Rabu.
Indeks utama dibuka 0.89 mata lebih rendah pagi ini pada 1,582.10 dan berlegar pada paras terendah 1,576.33 dan tertinggi 1,586.55 sepanjang urus niaga.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 625 berbalas 489 manakala 465 kaunter tidak berubah, 551 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 8.04 bilion unit bernilai RM4.17 bilion daripada 6.09 bilion unit bernilai RM4.93 bilion pada penutupan petang Rabu.
Kali terakhir Bursa Malaysia mencecah jumlah dagangan lapan bilion ini ialah kira-kira tiga minggu lepas iaitu pada 12 Jan.
“Dan dengan adanya tanda-tanda peningkatan aktiviti AS ketika Presiden AS Joe Biden berusaha memenangi cadangan pelan rangsangan bernilai US$1.9 trilion, kita menjangkakan sentimen akan terus rancak,” kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada Bernama.
Beliau turut menjangkakan pakej rangsangan AS yang besar itu mungkin dapat membantu meningkatkan bursa tempatan.
Seorang penganalisis berkata pembelian pada minit terakhir berlaku selepas kerajaan memaklumkan mengenai pelancaran program vaksin COVID-19 yang dijadualkan bulan ini.
Dalam perutusannya petang ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata vaksin itu merupakan harapan Malaysia untuk memerangi pandemik itu dan penghantaran pertama vaksin COVID-19 ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus,
Beliau berkata 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu disasar akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
Muhyiddin turut menggesa agar industri dan orang awam mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi memastikan perniagaan dan perdagangan boleh terus beroperasi, sekali gus membantu memutuskan rantaian COVID-19.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi yang lain, Maybank turun lima sen kepada RM7.89, Public Bank susut dua sen kepada RM4.108, Petronas Chemicals naik 11 sen kepada RM7.21 dan Tenaga pula empat sen lebih tinggi kepada RM9.70.
Kaunter paling cergas pula, Lambo Group turun setengah sen kepada 2.5 sen sementara Luster dan Pegasus Heights masing-masing menambah setengah sen kepada 22.5 sen dan 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 40.95 mata kepada 11,530.26, Indeks FBMT 100 naik 38.04 mata kepada 11,262.84 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 45.01 mata pada 13,094.91.
FBM 70 naik 145.64 mata kepada 15,060.95 tetapi FBM ACE jatuh 28.31 mata kepada 10,916.83.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 50.73 mata kepada 14,599.90, Indeks Perladangan naik 33.41 mata kepada 7,207.77 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri 0.91 mata lebih baik pada 174.71.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 50.73 mata kepada 14,599.90, Indeks Perladangan naik 33.41 mata kepada 7,207.77 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.91 mata lebih tinggi kepada 174.71.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.57 bilion saham bernilai RM3.23 bilion daripada 3.85 bilion saham bernilai RM3.96 bilion yang dicatatkan pada penutupan Rabu.
Jumlah perolehan waran menyusut kepada 425.49 juta unit bernilai RM71.42 juta berbanding 547.53 juta unit bernilai RM95.71 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.04 bilion saham bernilai RM868.18 juta daripada 1.69 bilion saham bernilai RM872.69 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 485.49 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.74 bilion), pembinaan (184.61 juta), teknologi (493.55 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (141.08 juta), hartanah (761.80 juta), perladangan (38.03 juta), REIT (6.99 juta), dana tertutup (8,000), tenaga (443.16 juta), penjagaan kesihatan (82.44 juta), telekomunikasi dan media (45.25 juta), pengangkutan dan logistik (108.57 juta) dan utiliti (41.93 juta).
– BERNAMA

