KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — AmInvestment Bank menjangkakan Apex Healthcare mencatat prospek pertumbuhan lebih kukuh, terutama dalam segmen ortopedik dengan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 10.1 peratus dalam tahun kewangan (FY) 2021 (FY21) dan 16.6 peratus bagi FY22.
Bank pelaburan itu berkata unjuran itu berdasarkan pemulihan permintaan pengguna bagi penjagaan kesihatan selain pertumbuhan kukuh yang dicatatkan oleh segmen pembuatannya.
“Apa yang membezakan Apex berbanding syarikat farmaseutikal lain adalah pengembangannya dalam segmen ortopedik. Walaupun sumbangan pendapatan segmen ini masih kurang daripada 10 peratus, namun kami percaya masih terdapat potensi bagi pertumbuhannya,” katanya dalam nota penyelidikan pada Khamis.
Ia juga percaya kontrak cabang pembuatan peranti ortopedik Apex, STRAITS berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah pengguna dengan penyelesaian pembuatan yang lebih cekap kos.
Sehubungan itu, bank tersebut menjangkakan sumbangan pendapatan STRAITS akan mencecah 11 peratus pada FY23.
Malah, prospek jangka panjang industri juga kukuh bagi Apex berikutan pertambahan jumlah golongan berusia, pendidikan kesihatan awam serta peningkatan perbelanjaan bagi tujuan penjagaan kesihatan.
Selain itu, Apex juga dijangka berperanan sebagai penggiat terkemuka dalam pengedaran vaksin COVID-19 kerana turut memiliki sistem gudang atau penyimpanan cekap susulan langkah penambahbaikan kemudahan rantaian penyejukannya di Malaysia dan Singapura bagi tujuan simpanan vaksin.
AmInvestment Bank turut memberi saranan ‘beli’ terhadap saham-saham Apex dengan nilai saksama pada RM3.82.
— BERNAMA




