KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Saham-saham di Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan awal hari ini lebih tinggi, didorong oleh kegiatan pembelian saham teknologi yang menyaksikan indeks teknologi mengukuh lebih daripada empat peratus.
Momentum yang memberangsangkan ini muncul setelah saham teknologi AS berserta kewangan mendahului angka pendapatan suku tahunan berikutan perbelanjaan percutian yang kukuh.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.59 mata atau 0.35 peratus kepada 1,586.08 selepas berlegar antara 1,582.54 dan 1,593.46 sepanjang sesi pagi.
Pagi ini, indeks utama dibuka 3.53 mata lebih tinggi pada 1,584.02 berbanding pada hari Selasa yang ditutup pada 1,580.49.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 621 berbalas 406 sementara 426 kaunter tidak berubah, 676 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 3.16 bilion unit bernilai RM2.33 bilion.
Saham tempatan berkaitan teknologi muncul sebagai kaunter paling untung dalam urus niaga hari ini.
Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.54 kepada RM35.84, UWC meningkat 92 sen kepada RM13.30 dan Vitrox Corp lebih tinggi 88 sen kepada RM17.66.
Greatech Technology meningkat 70 sen kepada RM6.40, MI Technovation dan KESM, masing-masing menambah 38 sen kepada RM5.36 dan RM16.80 manakala Pentamaster mengukuh 36 sen kepada RM6.72.
Seorang penganalisis berkata prestasi bursa tempatan itu sejajar dengan kebanyakan bursa Asia yang lain kerana para pelabur yakin dengan rancangan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan bagi membantu ekonomi, diikuti dengan pelancaran program vaksin COVID-19 di seluruh dunia..
Harga minyak mentah yang lebih tinggi melepasi US$55 setong juga menyokong sentimen positif, yang dapat dilihat pada minat belian di kaunter tenaga dan pengangkutan dan logistik.
Indeks tenaga meningkat 1.78 peratus kepada 817.22 dan pengangkutan dan logistik mengukuh satu peratus kepada 765.79.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 11 sen kepada RM7.96, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.13, Petronas Chemicals menokok 16 sen kepada RM7.07 sementara Top Glove turun 17 sen kepada RM6.88.
Saham paling cergas, Iris Corp turun satu sen kepada 38 sen, PA Resources tidak berubah pada 24 sen sementara Dagang Nexchange naik satu sen kepada 27.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 65.91 mata kepada 11,511.26, Indeks FBMT 100 meningkat 60.08 mata kepada 11,253.03.
Indeks FBM Emas Syariah naik 55.86 mata kepada 13,073.40, FBM 70 meningkat 159.17 mata kepada 14,977.37 dan FBM ACE menambah 145.97 mata kepada 10,936.93.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 139.13 mata kepada 14,587.71, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.23 mata kepada 173.02 tetapi Indeks Perladangan turun 8.67 mata kepada 7,157.60.
– BERNAMA

