KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) — Nationwide Express Courier Services Bhd akan mengembangkan perniagaan e-dagang dengan memperkenalkan sistem teknologi maklumat (IT) dan beg kurier baharu, seiring dengan peningkatan permintaan untuk penghantaran bungkusan kecil.
Sistem IT yang dibangunkan secara dalaman itu antara lainnya menyediakan aplikasi kurier yang dipertingkat serta platform perniagaan kepada pelanggan (B2C) yang membolehkan pelanggan mengemaskini aspek penjejakan barangan secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Nationwide Express, Wan Mohamed Den Wan Mohamed Zin berkata syarikat itu telah mula mengembangkan perniagaan B2C sejak tahun lepas untuk memenuhi lonjakan perniagaan e-dagang sejak bermulanya pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Secara tradisinya, 95 peratus daripada perniagaan kami berasal dari B2B (perniagaan kepada perniagaan) tetapi sejak awal 2020, perniagaan B2C telah berkembang pesat kerana pelanggan lebih selesa dengan penggunaan platform digital dan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Nationwide Express juga menyifatkan inisiatif itu antara langkah penjenamaan semula untuk mempromosikan kehadiran jenama tersebut seiring dengan program transformasi — ‘Kembali Kepada Keuntungan’ yang dilancarkan pada Februari 2020.
— BERNAMA




