KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) – Harga saham See Hup Consolidated Bhd di Bursa Malaysia diniagakan tinggi dalam sesi awal pada Jumaat selepas kumpulan itu mengumumkan ia mendapat kontrak bernilai RM99.01 juta daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd pada Rabu.
Sehingga 9.40 pagi, kaunter itu meningkat 30 sen kepada RM1.25, dengan 149,400 saham bertukar tangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, See Hup berkata kontrak itu, yang akan dijalankan oleh anak syarikat 51 peratus miliknya, SH Moment Builder Sdn Bhd (SHM), adalah untuk pembinaan sebahagian daripada kerja tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
China Communications adalah kontraktor untuk projek mega itu.
See Hup berkata surat penerimaan yang diterima SHM pada Jumaat menyatakan bahawa projek itu melibatkan pembinaan dan penyiapan sebahagian daripada kerja tanah Pakej 1, Seksyen 4 ECRL.
“Projek selama 28 bulan itu akan bermula pada 1 Mac, 2021, dengan dana dalaman dan/atau pinjaman luar,” katanya.
– BERNAMA

