KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi awal dagangan hari ini lebih tinggi, didorong oleh aktiviti belian berterusan membabitkan kaunter-kaunter teknologi, produk pengguna dan perkhidmatan.
Ini sekali gus menyaksikan pasaran tempatan mengenepikan trend menurun yang dipamerkan oleh bursa serantau yang lain, kata seorang peniaga.
Pada rehat tengah hari ini, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 12.57 mata kepada 1,587.88 selepas berlegar antara 1,580.71 dan 1,593.08 sepanjang sesi.
Pada sesi pembukaan pagi ini, indeks utama dibuka 9.75 mata lebih tinggi pada 1,585.06 berbanding 1,575.31 ketika ditutup semalam.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 525 berbalas 465 sementara 471 kaunter tidak berubah, 692 tidak diniagakan dan 61 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.87 bilion unit bernilai RM2.28 bilion.
Seorang peniaga berkata kebimbangan semakin ketara dalam kalangan pelabur kerana data terbaru menunjukkan bahawa kes COVID-19 global telah melepasi 100 juta.
“United Kingdom menjadi negara pertama di Eropah mencatatkan 100,000 kematian.
“Sementara itu, pentadbiran Biden berhasrat memesan lebih 100 juta dos setiap vaksin koronavirus Pfizer Inc dan Moderna Inc ataupun setidak-tidaknya mempercepatkan penghantaran ke negara itu,” kata beliau.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah 10 sen kepada RM7.92 dan RM6.85, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.41, TNB meningkat 14 sen kepada RM9.84 tetapi Top Glove turun 1.0 sen kepada RM6.19.
Saham-saham paling cergas pula, Iris Corp naik 1.5 sen kepada 38.5 sen, JAKS meningkat 2.5 sen kepada 70 sen sementara P.A. Resources dan DNeX masing-masing memperoleh setengah sen kepada 19 sen dan 28.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 92.07 mata kepada 11,490.96 dan Indeks FBMT 100 naik 90.55 mata kepada 11,229.07 sementara Indeks FBM Emas Syariah meningkat 102.72 mata pada 12,935.37.
FBM 70 naik 125.71 mata kepada 14,803.11 dan FBM ACE meningkat 48.12 mata kepada 10,846.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 132.78 mata kepada 14,830.23 sementara Indeks Perladangan turun 0.80 mata menjadi 7,183.55 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.99 mata menjadi 171.45.
– BERNAMA

