KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) – Unit milik penuh Advancecon Holdings Bhd, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) telah menerima Surat Setuju Terima daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd untuk cadangan pembinaan dan menyiapkan kerja-kerja berperingkat Pakej 3, Seksyen 4 bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur, bernilai RM60.58 juta.
Tempoh kontrak akan bermula dari 1 Mac, 2021 sehingga 15 April, 2023, demikian menurut Advancecon Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
AISB terlibat dalam perniagaan menyediakan kerja tanah dan perkhidmatan kejuruteraan awam.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa depan kumpulan Advancecon bagi tempoh kontrak dan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama kumpulan Advancecon.
“Kumpulan ini berhasrat untuk membiayai kerja-kerja kontrak melalui dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman luaran,” tambahnya.
– BERNAMA




