
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) – Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd meningkat kepada RM1.0 bilion pada suku ketiga berakhir 31 Dis, 2020 (Suku Ketiga Tahun Kewangan 2021) berbanding RM121.27 juta pada Suku Ketiga 2020.
Hasil melonjak kepada 167.4 peratus kepada RM2.13 bilion berbanding RM796.55 juta sebelumnya, kata pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Dis, 2020, Hartalega mencapai hasil jualan lebih tinggi sebanyak RM4.40 bilion, meningkat RM2.25 bilion atau 104.8 peratus daripada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
“Prestasi peningkatan yang ketara bagi suku ketiga 2021 dan tempoh sembilan bulan itu disebabkan terutamanya oleh hasil jualan, jumlah jualan dan harga jualan purata yang tinggi, serta perbelanjaan tenaga dan penyelenggaraan yang rendah,” kata kumpulan itu.
Sejajar dengan permintaan sarung tangan getah dunia yang semakin meningkat, Hartalega akan meneruskan pelan pengembangan kapasiti Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC).
“Sehingga kini, kesemua 12 rangkaian pengeluaran di Kilang 6 kemudahan NGC telah beroperasi sepenuhnya,” katanya sambil menambah empat daripada 10 rangkaian dalam Kilang 7 telah beroperasi.
“Selepas beroperasi penuh, Kilang 7 akan mempunyai kapasiti tahunan 2.7 bilion keping,” katanya.
Susulan kemajuan pengoperasian Kilang 7, kapasiti tahunan kumpulan dijangka meningkat kepada 44 bilion keping menjelang tahun kewangan 2022.
Lembaga pengarah Hartalega telah mengisytiharkan dividen satu peringkat interim kedua sebanyak 9.65 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021, yang perlu dibayar pada 26 Feb, 2021.
– BERNAMA



