KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Selasa lebih tinggi, didorong oleh kegiatan pembelian di kaunter teknologi tanpa menghiraukan trend menurun di kebanyakan pasaran lain rantau ini, kata seorang peniaga.
Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk utama FBM KLCI meningkat 8.07 mata kepada 1,584.69 selepas bergerak antara 1,583.90 dan 1,609.19 sepanjang sesi.
Pagi ini, indeks utama dibuka 13.97 mata lebih tinggi kepada 1,590.59 berbanding 1,576.62 ketika ditutup semalam.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 598 berbalas 326 manakala 319 kaunter tidak berubah, 611 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.49 bilion unit bernilai RM1.79 bilion.
Seorang peniaga berkata kebanyakan saham Asia jatuh pada hari Selasa kerana para pelabur merasakan pakej bantuan fiskal AS mungkin akan ditangguhkan.
Bagaimanapun, beliau berkata pasaran tempatan mendapat sokongan selepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menepis kebimbangan mengenai PKP 3.0 dan pasaran kembali bangkit mempamerkan prestasi yang baik pada Selasa.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank melonjak 27 sen kepada RM4.53, Maybank menambah 7.0 sen kepada RM7.95, Petronas Chemicals naik 4.0 sen kepada RM 6.94 dan TNB menokok 6.0 sen kepada RM9.71 sementara Top Glove turun 14 sen kepada RM6 .38.
Saham paling cergas pula, Fintec naik setengah sen kepada 8.0 sen, DNeX meningkat 1.0 sen kepada 31 sen, Key ASIC menambah 2.0 sen kepada 11 sen dan MLabs menokok 1.5 sen kepada 8.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 66.08 mata kepada 11,456.63 dan Indeks FBMT 100 naik 60.40 mata kepada 11,195.64 tetapi Indeks FBM Emas Syariah turun 41.64 mata pada 12,850.94.
FBM 70 meningkat 92.70 mata kepada 14,716.92 dan FBM ACE melonjak 197.80 mata kepada 10,868.05.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 307.77 mata kepada 14,872.51 sementara Indeks Perladangan turun 18.44 mata kepada 7,166.02 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.37 mata kepada 171.17.
– BERNAMA

