KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung di kaunter produk pengguna terpilih dan perkhidmatan kewangan meskipun aliran meningkat dalam kebanyakan bursa serantau lain, kata para peniaga.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 20.12 mata atau 1.26 peratus kepada 1,576.62 daripada paras penutup 1,596.74 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka 3.80 mata lebih tinggi kepada 1,600.54 dan bergerak antara paras 1,575.88 dan 1,601.54 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,142 berbanding 226, manakala 291 kaunter tidak berubah, 459 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan tinggi sebanyak 7.47 bilion unit bernilai RM5.14 bilion berbanding 6.63 bilion unit bernilai RM4.81 bilion pada Jumaat.
Seorang peniaga berkata, di peringkat serantau, keyakinan tinggi bahawa sebaik sahaja pandemik COVID-19 berjaya dibendung, ekonomi serantau bakal mencatatkan pemulihan kukuh dengan kelonggaran sekatan pergerakan dan pembekalan vaksin sudahpun bermula di pelbagai negara, berbanding tahun lepas.
Bagaimanapun, beliau berkata kebimbangan terhadap pandemik itu masih lagi ada, terutamanya dengan lonjakan semula kes di beberapa kawasan di China dan Jepun.
Seorang peniaga berkata pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, serta minggu dagangan yang singkat di Malaysia.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM7.88, Public Bank turun 36 sen kepada RM21.30, Petronas Chemicals berkurangan 45 sen kepada RM6.90, TNB jatuh 13 sen kepada RM9.65, manakala Top Glove menokok 27 sen kepada RM6.25.
Dalam kalangan kaunter cergas, DNeX meningkat 4.0 sen kepada 30 sen, Bioalpha susut setengah sen kepada 29.5 sen, XOX berkurangan 1.0 sen kepada 8.0 sen manakala Pegasus tidak berubah pada 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 173.07 mata kepada 11,390.55, Indeks FBMT 100 berkurangan 159.52 mata kepada 11,135.24 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 156.37 mata kepada 12,892.58.
FBM 70 turun 277.46 mata kepada 14,624.22 dan FBM ACE susut 87.76 mata kepada 10,670.25.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 320.32 mata kepada 14,564.74, Indeks Perladangan turun 38.70 mata kepada 7,184.46 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 6.55 mata kepada 170.80.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.67 bilion saham bernilai RM4.26 bilion berbanding 3.85 bilion saham bernilai RM3.77 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran naik kepada 520.57 juta unit bernilai RM80.32 juta daripada 442.62 juta unit bernilai RM70.95 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 2.28 billon saham bernilai RM798.15 juta berbanding 2.33 bilion saham bernilai RM967.76 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 709.19 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.36 bilion), pembinaan (346.10 juta), teknologi (915.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (87.70 juta), hartanah (410.33 juta), perladangan (63.16 juta), REITs (18.57 juta), dana tertutup (5,400), tenaga (369.168 juta), penjagaan kesihatan (148.49 juta), telekomunikasi dan media (87.67 juta), pengangkutan dan logistik (114.28 juta) dan utiliti (38.59 juta).
— BERNAMA

