KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih tinggi dengan peningkatan dalam indeks utama dirangsang oleh pembelian saham-saham berwajaran tinggi terpilih terutama menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia.
Pada waktu dagangan berhenti rehat tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 12.98 mata kepada 1,614.86 selepas berlegar antara 1,603.01 dan 1,615.72 sepanjang sesi urus niaga.
Indeks utama dibuka 4.67 mata lebih tinggi pada 1,606.55 berbanding 1,601.88 ketika ditutup hari sebelumnya.
Di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 569 berbalas 436 sementara 445 kaunter tidak berubah, 655 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.08 bilion unit bernilai RM2.09 bilion.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank meningkat 11 sen kepada RM8.21, Public Bank menambah 62 sen kepada RM21.52, PChem lebih tinggi empat sen kepada RM7.55 dan Tenaga tidak berubah pada RM10.00.
Sementara itu, Top Glove mengukuh 10 sen kepada RM6.23.
Kaunter-kaunter paling cergas terdiri daripada HPP yang mula disenaraikan hari ini, melonjak 22 sen kepada 58 sen, MTouche naik setengah sen kepada tujuh sen dan Anzo menokok 2.5 sen kepada 10.5 sen.
Sebaliknya, Vizione susut 3.5 sen kepada 27 sen dan DGB Asia menyusut empat sen kepada 13.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 88.48 mata kepada 11,669.0, Indeks FBMT 100 mengembang 88.24 mata kepada 11,398.5 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 68.52 mata kepada 13,171.87.
Indeks FBM 70 pula menambah 102.53 mata kepada 14,943.38 dan FBM ACE melonjak 88.89 mata kepada 10,883.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 191.59 mata kepada 14,953.79,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.81 mata kepada 179.82 dan Indeks Perladangan kukuh 4.9 mata kepada 7,294.33.
— BERNAMA