KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Cymao Holdings Bhd, Billion Apex Sdn Bhd (BASB) telah menerima surat tawaran (LOA) daripada HYC Properties Sdn Bhd (HPSB) untuk sub-kontrak bernilai RM134.02 juta.
Syarikat pengeluar kayu lapis itu berkata LOA berkenaan merangkumi pembersihan tapak, penimbunan dan kerja tanah bagi cadangan projek pembangunan bercampur di Batang Padang, Perak.
Cymao berkata kerja-kerja tersebut dijangka siap dalam tempoh 24 bulan selepas kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi projek itu.
“Skop kerja termasuk menjalankan dan menyiapkan semua kerja-kerja pembersihan tapak, penimbunan dan kerja tanah serta penyediaan tenaga kerja, alat, jentera, peralatan dan bahan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu juga berkata pihaknya akan mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya bagi cadangan mempelbagaikan aktiviti utama kumpulan untuk melibatkan aktiviti pembinaan, pengurusan projek dan aktiviti berkaitan pada mesyuarat agung luar biasanya pada 9 Feb, 2021.
Setelah mendapat kelulusan pemegang saham, syarikat akan memeterai kontrak muktamad berhubung dengan sub-kontrak dengan HPSB.
Sekiranya tiada sebarang halangan, BASB akan mengemukakan permohonan lesen pembinaan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia pada suku kedua 2021.
Dalam pada itu, BASB akan mengenalpasti dan melantik sub-kontraktor yang berkelayakan dengan lesen yang diperlukan untuk melaksanakan projek tersebut.
— BERNAMA