KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) — Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) yang tersenarai di Pasaran ACE dan L&S Gloves Sdn Bhd akan mula mengoperasikan tambahan dua barisan pengeluaran sarung tangan lateks menjelang Februari untuk melengkapkan dua lagi mesin sedia ada yang sedang beroperasi.
Pengarah Eksekutif Inix Siva Kumar Kalugasalam berkata anak syarikat milik penuh syarikat itu, INix Glove Manufacturing Sdn Bhd (iNix Glove) telah memeterai perjanjian pajakan 10 tahun (boleh diperbaharui untuk tempoh 10 tahun lagi) bagi tapak kilang sarung tangan seluas 0.91 hektar di Beranang, Selangor.
“Terdahulu pada bulan lepas, dengan sokongan penuh ahli lembaga, Inix memeterai memorandum perjanjian (MoA) dan membayar 45 peratus deposit untuk mengambil alih L&S Gloves, yang mana perjanjian muktamad bagi pengambilalihan itu berada di tahap lanjutan dan sedang menunggu dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah L&S Gloves Teo Xiong Sheng berkata dengan perjanjian penyewaan baharu itu, perkongsian tersebut akan dapat menambah dua lagi barisan pengeluaran pada bulan depan.
“Selepas itu, INix akan menambah dua barisan pengeluaran bagi setiap tiga bulan sehingga sejumlah 14 barisan pengeluaran beroperasi,” katanya.
Menurut Teo, pengeluaran sarung tangan harian L&S Gloves habis dijual setiap hari dan penghantaran kepada pelanggan dilakukan setiap hari.
“L&S Glove mempunyai tempahan mencukupi untuk tempoh dua tahun akan datang bagi cadangan 14 mesin barisan pengeluaran itu yang mempunyai kapasiti pengeluaran lebih 110 juta pasang sarung tangan lateks sebulan,” katanya.
Pengerusi Inix Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir berkata: “Langkah Inix memajakkan kilang dan mengoperasikan dua daripada 12 barisan pengeluaran tambahan menunjukkan komitmen dan keazaman kami untuk menceburi pengeluaran sarung tangan dan mengembangkan 14 barisan pengeluaran dalam masa 12 bulan.”
Inix memeterai memorandum perjanjian dengan L&S Gloves pada 7 Dis untuk membeli 51 peratus kepentingan ekuiti L&S Gloves dengan pelaburan berjumlah RM50 juta.
Kira-kira 97 peratus daripada pengeluaran akan dieksport ke China dan India manakala bakinya bagi penggunaan domestik. Perkongsian itu juga menyasar pasaran baharu seperti Eropah.
— BERNAMA