KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi dan saham permodalan kecil, berikutan pelabur bimbang mengenai kemungkinan sekatan pergerakan berdasarkan kes COVID-19 tempatan harian yang melonjak.
Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.19 mata kepada 1,600.76 selepas turun naik dalam jajaran kecil antara 1,596.88 dan 1,606.96 sepanjang sesi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 705 berbanding 359, manakala 388 kaunter tidak berubah, 632 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 3.86 bilion unit bernilai RM2.44 bilion.
Peniaga berkata walaupun prestasi Wall Street semalaman meningkat menyebabkan kebanyakan saham Asia dalam trajektori meningkat, bursa tempatan berada pada arah yang bertentangan berikutan jangkaan sekatan pergerakan yang boleh mengekang pemulihan dan pertumbuhan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan 12 sen kepada RM8.16, Tenaga susut 18 sen kepada RM10.34, IHH Healthcare merosot enam sen kepada RM5.64, manakala Public Bank tidak berubah pada RM20.40.
Bagaimanapun, Petronas Chemicals meningkat 32 sen kepada RM7.37 dan Top Glove naik 23 sen kepada RM6.03.
Daripada saham cergas, AT Systematization naik setengah sen kepada 18.5 sen, GPA menambah satu sen kepada 11.5 sen, PNE meningkat 14.5 sen kepada 69.5 sen, Key Alliance tidak berubah pada lima sen, manakala Vortex berkurangan satu sen hingga lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 31.93 mata kepada 12,919.23, Indeks FBMT 100 berkurangan 30.02 mata kepada 11,231.22 dan FBM 70 merosot 95.98 mata kepada 14,460.44.
Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah naik 3.91 mata kepada 12,931.79 dan FBM ACE meningkat 59.93 mata kepada 10,600.9.
Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 99.04 mata kepada 14,868.95, Indeks Perladangan berkurangan 15.84 mata kepada 7,404.2 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.95 mata kepada 173.76.
— BERNAMA