KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia menongkah arus trend serantau untuk ditutup tinggi hari ini dengan indeks utamanya melantun semula daripada penurunan dua hari dagangan berturut-turut, berikutan minat risiko yang bertambah baik dalam saham wajaran tinggi terpilih.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang pulih semasa sesi tengah hari meningkat 5.78 mata untuk ditutup pada paras tertinggi hariannya pada 1,608.35 selepas mencecah paras rendah 1,589.81 sebelumnya.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 676 berbanding 479, manakala 585 kaunter tidak berubah, 342 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 6.27 bilion unit bernilai RM4.0 bilion daripada 7.42 bilion unit bernilai RM5.89 bilion pada Isnin.
Bursa serantau kebanyakannya dalam situasi jualan di tengah-tengah sentimen pasaran lemah disebabkan oleh penurunan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan kes COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata indeks petunjuk pasaran itu bermula lemah hari ini apabila para pelabur dipengaruhi oleh jualan di Wall Street semalaman dan mengambil keuntungan.
Beliau juga berkata pengambilan untung biasanya menguasai pasaran bagi tempoh dua hari pertama Tahun Baharu berikutan jualan oleh pelabur institusi kerana mereka telah memegang pegangan mereka sejak Krismas ekoran persekitaran pencairan yang rendah.
“Januari biasanya bulan yang mencatatkan prestasi baik dan kita melihat pasaran telah mula melantun semula.
“Aktiviti pengambilan untung hanya sementara sahaja kerana kita mempunyai asas yang kukuh memandangkan ekonomi kita berada di landasan pemulihan, (dengan) kadar penghunian yang bertambah baik, vaksin COVID-19 yang bakal diterima tidak lama lagi dan harga komoditi yang stabil,” katanya kepada Bernama.
Nazri Khan berkata paras sokongan seterusnya kini dilihat pada 1,600 dan paras ketahanan pada 1,620.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik 10 sen kepada RM20.62, Tenaga meningkat lapan sen kepada RM10.54, IHH Healthcare menokok 13 sen kepada RM5.65 dan Top Glove menambah 22 sen kepada RM5.72.
Maybank susut empat sen kepada RM8.31 dan Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM7.10.
Dalam kalangan kaunter cergas, BCMall turun empat sen kepada 32 sen, Ageson meningkat setengah sen kepada 13.5 sen, AT Systematization susut satu sen kepada 17.5 sen dan Yong Tai menokok 1.5 sen kepada 32 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 12.93 mata kepada 11,619.39, Indeks FBMT 100 naik 13.83 mata kepada 11,357.99, Indeks FBM Emas Shariah menokok 31.35 mata kepada 12,974.75 dan FBM ACE menambah 23.76 mata kepada 10,817.1.
Bagaimanapun, FBM 70 turun 87.1 mata kepada 14,911.44.
Indeks Perladangan meningkat 25.16 mata kepada 7,354.66 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 37.75 mata kepada 15,204.16 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.16 mata kepada 174.29.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 3.64 bilion saham bernilai RM3.08 bilion daripada 4.72 bilion saham bernilai RM5.18 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran turun kepada 357.4 juta unit bernilai RM54.67 juta daripada 568.69 juta unit bernilai RM79.52 juta.
Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.27 bilion saham bernilai RM861.09 juta daripada 2.13 bilion saham bernilai RM627.76 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 674.42 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (972.12 juta), pembinaan (570.66 juta), teknologi (258.41 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.62 juta), hartanah (390.46 juta), perladangan (44.98 juta), REITs (13.33 juta), dana tertutup (2,500), tenaga (249.39 juta), penjagaan kesihatan (160.15 juta), telekomunikasi dan media (48.68 juta), pengangkutan dan logistik (144.69 juta) dan utiliti (57.18 juta).
— BERNAMA