KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Serba Dinamik Holdings Bhd telah memenangi kontrak dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10.87 bilion setakat ini, tiga kali ganda lebih banyak berbanding RM3.5 bilion yang diperoleh pada 2019, menjadikan tempahan dalam tangan semasa kumpulan berada pada RM18.5 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata walaupun menghadapi masa yang sukar pada 2020, kumpulan itu masih memiliki kehadiran yang kukuh di enam wilayah dan 24 negara.
Walaupun syarikat telah mengalami ketidaktentuan harga saham, asasnya kekal kukuh dan ia sedang memasuki 2021 dengan cemerlang.
“Kami melihat 2021 dengan penuh rasa yakin memandangkan kami mempunyai banyak rancangan. Segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kami menyaksikan peningkatan sumbangan yang ketara terhadap hasil, seiring dengan komitmen kami untuk mengembangkan segmen ini agar ia membuka peluang masa depan yang lebih cerah kepada kumpulan, sejajar dengan peralihan pesat dunia ke arah pendigitalan.
”Selain segmen ICT kami, kami juga akan terus mencari peluang dalam bidang minyak dan gas (O&G), utiliti serta teknologi angkasa pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Serba Dinamik, melalui bahagian teknologi ICT kumpulan, SDIT AI Inc. (SDIT), telah memutuskan untuk beroperasi dari California, Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai tempat kelahiran syarikat teknologi Lembah Silikon, sekali gus mewujudkan peluang yang lumayan bagi perniagaan.
Sementara itu, SDIT akan meneruskan kerjasama dengan Universiti Stanford dalam meningkatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang robotik.
”Input teknikal ini akan menampung elemen teknologi AI yang sedia ada untuk aplikasi dalaman kami. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, SDIT telah meraih kemajuan dalam pengetahuan serta keupayaan dalam teknologi Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 dan sudah tiba masanya untuk melaksanakan inisiatif ini di peringkat global.
”Pakar tempatan kami akan memberi tumpuan terutamanya kepada keselamatan siber, AI, teknologi kewangan termasuk keupayaan realiti bercampur penyelesaian bersepadu dengan sasaran pelanggan dari institusi dan pengguna massa,” katanya, sambil menambah kumpulan itu bakal berkembang pada 2021 melalui kerjasama dengan Stamford University untuk pengembangan teknologi.
Abdul Karim berkata kumpulan itu telah mengenal pasti 23 rakan kongsi di benua Afrika yang berpotensi dalam telekomunikasi, bandar pintar, e-Tadbir Urus dan pelbagai penyelesaian yang boleh disesuaikan dengan negara-negara tersebut.
“Serba Dinamik juga secara agresif sedang mengkaji lebih banyak projek di Afrika dan Asia Tengah memandangkan ia memiliki keupayaan dalam operasi serta penyelenggaraan; kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan serta pentauliahan; ICT termasuk pendidikan dan latihan,” tambahnya.
— BERNAMA