KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini dengan sentimen pasaran terus diselubungi dengan kebimbangan terhadap kemunculan semula kes COVID-19 serta harga minyak mentah yang lemah, kata para peniaga.
Pada pukul 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.67 mata kepada 1,629.25 selepas dibuka 0.63 mata lebih rendah pada 1,631.55 pagi ini.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran bagaimanapun menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 295 berbalas 165 manakala 1,256 kaunter tidak berubah, 432 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 1.13 bilion unit bernilai RM417.16 juta.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata, pasaran serantau kemungkinan menyaksikan prestasi bercampur-campur berikutan berlakunya pembetulan kecil yang berterusan.
“Di pasaran tempatan pula, kami berpendapat FBM KLCI akan menguji paras 1,620 hari ini selepas indeks penanda aras mungkin membalikkan aliran menurunnya yang menyaksikan kerugian sebanyak 50 mata sejak seminggu yang lepas.
“Kami ingin menasihati para pelabur untuk membeli ketika harga saham lemah kerana kami menjangkakan bursa tempatan akan melantun bila-bila masa dalam waktu terdekat ini,” kata beliau dalam satu nota hari ini.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.36, Top Glove susut satu sen kepada RM6.68 dan Hartalega lebih rendah dua sen kepada RM12.58.
Sementara itu, Public Bank, Tenaga, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM20.46, RM10.58, RM7.41, dan RM5.65.
FGV mendahului senarai paling cergas berikutan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat dan ia meningkat sembilan sen kepada RM1.27.
Kaunter paling cergas yang lain, Konsortium dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 14.5 sen dan 12.5 sen sementara Fintec turun setengah sen kepada 9.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 21.96 mata pada 11,687.5, Indeks FBMT 100 susut 14.74 mata kepada 11,466.96, Indeks FBM Emas Syariah merosot 14.16 mata kepada 13,167.18, FBM 70 turun 3.4 mata kepada 14,904.38, dan FBM ACE jatuh 35.14 mata kepada 10,442.06.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.36 mata kepada 172.13, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 60.67 mata kepada 15,088.77 tetapi Indeks Perladangan naik 15.77 mata kepada 7,297.22.
– BERNAMA