KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — VS Industry Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang tinggi iaitu RM66.68 juta pada suku pertama (Q1) berakhir 31 Okt, 2020 berbanding RM48.07 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.
Pendapatannya bagi suku berkenaan susut RM47.5 juta kepada RM987.1 juta daripada RM1.03 bilion tahun lepas disebabkan sumbangan rendah daripada operasi di China.
“Peningkatan pendapatan bagi suku semasa meskipun hasil menyusut disebabkan oleh campuran penjualan produk yang menguntungkan di Malaysia,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan berkenaan memperkenalkan beberapa produk baharu yang masih dalam proses untuk dilancarkan pada 2021.
“Untuk memenuhi tujuan pengembangan pada masa depan, kumpulan ini telah memperoleh enam bidang tanah bersama bangunan perindustrian dengan luas tanah sekitar 413,682 kaki persegi di iPark @ Senai Airport City, Senai, Johor dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM98.8 juta.
“Ibu pejabat VS juga akan berpindah ke i-Park @ Senai Airport City apabila bangunan baharu siap,” katanya.
— BERNAMA