KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Kegiatan pengambilan untung selepas bursa tempatan mencatatkan keuntungan besar sejak dua hari lepas menyaksikan Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 8.87 mata kepada 1,672.54 daripada 1,681.41 ketika ditutup pada petang Rabu.
Indeks utama dibuka tinggi 2.86 mata pagi ini kepada 1,684.27 dan bergerak antara 1,669.69 dan 1,684.30 sepanjang sesi pagi.
Pergerakan harga di keseluruhan pasaran masih lagi negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 682 berbalas 388 manakala 492 kaunter tidak berubah, 581 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 5.35 bilion unit bernilai RM2.17 bilion.
Sementara itu, bursa Asia bercampur-campur meskipun saham AS semalaman mengukuh selepas para pelabur Wall Street memberi tindak balas positif kepada berita menyatakan penggubal undang-undang AS telah hampir mencapai kesepakatan terhadap bantuan koronavirus.
Di samping itu, Rizab Persekutuan turut membayangkan bahawa kadar faedah AS akan kekal menghampiri sifar untuk tempoh beberapa tahun ini.
Di pasaran serantau, Bursa Saham Shanghai China naik 0.63 peratus kepada 3,388,24, Indeks Straits Times Singapura turun 0.49 peratus kepada 2,858,59, Nikkei 225 Jepun naik 0,20 peratus kepada 26,810,94, Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 0.08 peratus kepada 26,481,79 dan Kospi Korea Selatan merosot 0.52 peratus kepada 2,757.47.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka tinggi tetapi kemudiannya menyusut berikutan kegiatan pengambilan untuk ke atas saham berwajaran tinggi, diketuai oleh kaunter teratas FBM KLCI dan sektor perkhidmatan kewangan.
Rakuten Trade Sdn Bhd dalam notanya berkata penurunan FBM KLCI telahpun dijangka berikutan penamatan penggantungan sementara jualan singkat, berkuat kuasa 1 Jan, 2021.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia dalam satu kenyataan bersama pada Rabu akan menamatkan penggantungan sementara jualan singkat dikawal selia (RSS) sekuriti selepas ia berakhir pada 31 Dis tetapi ia akan mempunyai langkah-langkah kawalan yang dipertingkatkan.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing susut empat sen kepada RM8.63 dan RM7.56, Public Bank turun 30 sen kepada RM21.58, Tenaga jatuh lapan sen kepada RM10.72 dan Top Glove lebih rendah sebanyak dua sen kepada RM6. 75.
Saham-saham paling cergas pula, waran Seacera naik tiga sen kepada 3.5 sen, waran Securemetric menambah dua sen kepada 6.5 sen, Sino Hua-An turun setengah sen pada 18.5 sen sementara waran Focus Dynamic dan EA Holdings masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan tiga sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 65.44 mata pada 12,035.55, Indeks FBMT 100 merosot 67.18 mata kepada 11,796.32, FBM 70 menyusut 105.92 mata kepada 15,428.89, Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 16.33 mata kepada 13,417.13 manakala FBM ACE meningkat 94.17 mata kepada 10,680.43.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.13 mata kepada 175.94, Indeks Perladangan meningkat 62.0 mata kepada 7,425.77, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 192.93 mata kepada 15,756.97.
– BERNAMA