KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — AirAsia X Bhd (AAX) berhasrat menyemak semula cadangan pengurangan terbitan modal sahamnya sebanyak 90 peratus kepada 99.9 peratus.
Ini meliputi pengurangan terbitan saham modal kira-kira RM1,532.51 juta kepada RM1.53 juta, kata syarikat penerbangan tersebut dalam kenyataan hari ini.
“Kredit daripada cadangan pengurangan modal saham tersebut akan dimanfaatkan untuk mengurangkan sebahagian daripada kerugian terkumpul. Cadangan penyatuan saham itu yang akan dilaksanakan susulan cadangan pengurangan saham modal, kekal tidak berubah iaitu merangkumi penyatuan bagi setiap 10 saham AirAsia X sedia ada ke dalam satu saham AirAsia X.
“Susulan itu dana pemegang saham selepas pengurangan modal itu kekal negatif namun gabungan saham-saham pasca pengurangan modal akan menyediakan platform untuk mendapatkan pendanaan baharu daripada pemegang saham sedia ada,” katanya.
Bagi usaha pengumpulan dananya, AirAsia X telah mencadangkan untuk mengumpulkan sehingga RM500 juta yang meliputi kedua-dua hak terbitan sehingga RM300 juta daripada pemegang saham sedia ada dan langganan saham sehingga RM200 juta daripada pelabur baharu.
“Langkah pengumpulan dana ekuiti ini adalah komponen kritikal pelan penstrukturan dan permodalan semula komprehensif yang diumumkan sebelum ini dan akan menyokong pelaksanaan semakan semula pelan perniagaan kumpulan.
“Aspek persekitaran operasi sedang mengalami perubahan serta dinamik. Ada beberapa senario yang sejajar dengan pelan perniagaan kami dan dana perlu dikumpul secukupnya untuk setiap keadaan tersebut,” katanya.
Namun sebelum usaha pengumpulan dana itu dapat dilaksanakan, syarikat penerbangan itu perlu mendapatkan kelulusan pihak pemiutang membabitkan skim penyusunan semula hutangnya.
Selain itu, beberapa pihak pemajak juga turut terlibat dalam prosiding penyusunan semula itu bagi menyatakan bantahan mereka terhadap skim berkenaan.
“AirAsia X mahu menegaskan bahawa skim penyusunan semula hutang itu adalah prasyarat permodalan semula syarikat oleh masing-masing pelabur sedia ada dan baharu. Usaha komprehensif diperlukan sebagai platform untuk membangunkan semula serta dilihat sebagai amat menarik untuk membolehkan pelabur melabur,” katanya.
Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, AirAsia X berkata ia akan terus melakukan libat urus dengan pemiutang yang diharap dapat meredakan kebimbangan mereka.
Menurutnya, alternatif terhadap skim tersebut adalah pembubaran syarikat yang tidak memberi sebarang pulangan kepada pemiutang.
“Dalam tempoh pasca-COVID-19, usaha penetapan semula dengan ekuiti baharu dan meletakkan semula kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah bagi jarak sederhana, akan memberi pulangan ekonomi terbaik kepada pemiutang bagi hubungan perniagaan yang berterusan.
“Syarikat ini juga telah menerima beberapa minat untuk pelaburan dalam AirAsia X yang disusun semula dan pada masa sama terus mengadakan libat urus dengan pelabur yang berpotensi,” katanya.
— BERNAMA