KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Hartalega Holdings Bhd mengesahkan 35 pekerjanya positif COVID-19, 20 daripadanya ialah di kilang Bestari Jaya dan 15 di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia menjelaskan pekerja yang terjejas sedang menerima rawatan perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan, manakala semua kontak rapat dalam tempoh 14 hari terakhir telah dikenal pasti dan dikuarantin serta akan menjalani ujian selanjutnya sebelum dibenarkan kembali bekerja.
“Sehubungan dengan itu, beberapa talian pengeluaran dihentikan sementara, dengan kerugian kapasiti dianggarkan kurang 0.5 peratus daripada pengeluaran tahunan,” katanya.
Selain itu, menurut Hartalega pembasmian kuman secara menyeluruh di kawasan di mana invidu terlibat berada telah dilakukan oleh penyedia profesional pihak ketiga.
Kumpulan itu berkata ujian COVID-19 telah dilakukan ke atas seramai 8,772 kakitangan termasuk vendor luar seperti kakitangan keselamatan dan operator kantin pada 7 Dis dan selesai pada 10 Dis, selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara supaya semua pekerja asing menjalani ujian.
— BERNAMA