KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia dibuka rendah seketika sebelum melantun semula, mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur indeks saham AS Jumaat lepat.
Wall Street berakhir agak bercampur-campur berikutan keyakinan terhadap penyelesaian segera terhadap pakej rangsangan AS semakin pudar.
Pada 9.12 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.45 mata kepada 1,688.03 daripada 1,684.58 ketika ditutup Jumaat minggu lepas.
Ia dibuka lebih rendah sebanyak 2.12 mata kepada 1,682.46.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif denga kaunter untung mengatasi rugi 394 berbalas 350 sementara 381 kaunter tidak berubah, 1,019 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 979.90 juta unit bernilai RM533.51 juta.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun sentimen di Wall Street bercampur-campur minggu lepas, minat urus niaga di pasaran tempatan kekal rancak.
“Perkembangan baik mengenai vaksin seperti pelancaran segera vaksin COVID-19 di UK, AS dan Kanada dalam tempoh terdekat menjuruskan kepada keyakinan bahawa pemulihan ekonomi berjalan lancar.
“Dengan jangkaan pemulihan dalam kegiatan perniagaan , kami mengunjurkan harga minyak mentah Brent dan minyak sawit akan kekal kukuh, masing-masing antara US$45 hingga 50 dan RM3,200-RM3,400, dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Bagi sektor tumpuan pula, ia berkata peserta pasaran akan memberi fokus kepada sektor perbankan, perjudian, perkapalan, perladangan, minyak dan gas, selain daripada pembinaan.
“Untuk sektor pembinaan, ia kemungkinan berada dalam perhatian peniaga berikutan kemunculan semula berita mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, dan ini akan meningkatkan sentimen urus niaga dalam segmen pembinaan dan perkakas bangunan minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah satu sen kepada RM8.92 dan RM7.90, Public Bank naik 46 sen kepada RM22.36, Tenaga meningkat 28 sen kepada RM10.62, sementara Top Glove turun 30 sen kepada RM6 .60.
Antara saham paling cergas, waran MLabs meningkat dua sen kepada 2.5 sen, Iris dan Sino Hua-An, masing-masing naik setengah sen kepada 39.5 sen dan 13.5 sen, Advance Synergy menambah 1.5 sen kepada 17.5 sen, sementara MLabs turun satu sen kepada 8.5 sen .
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.83 mata lebih baik pada 12,094.54 dan Indeks FBMT 100 meningkat 11.48 mata kepada 11,743.39.
FBM 70 turun 35.22 mata kepada 15,334.79, Indeks FBM Emas Shariah susut 76.98 mata kepada 13,354.55 dan FBM ACE jatuh 75.84 mata kepada 10,995.26.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.41 poin ke 177,26, Indeks Perladangan merosot 59.83 mata kepada 7,352.26, sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 168.93 mata kepada 16,215.06.
– BERNAMA