KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Unit milik penuh AWC Bhd, Ambang Wira Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM107.9 juta daripada Kementerian Kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan di Hospital Shah Alam.
Kontrak itu adalah bagi tempoh lima tahun dan dijangka bermula pada 1 Jan, 2021.
AWC dalam satu kenyataan hari ini berkata tender itu diperoleh melalui proses tender terbuka secara kompetitif walaupun syarikat tersebut pernah menjadi penyedia perkhidmatan bagi Hospital Shah Alam dan telah menyelenggara hospital tersebut sejak 2016.
Menurutnya, mengikut terma kontrak semasa, lanjutan kontrak tidak dibenarkan, justeru KKM telah menawarkan tender terbuka.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Kumpulan Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata dengan kontrak yang diperoleh ini telah menjadi menjadikan kontrak yang diterima syarikat itu bagi tahun kewangan semasa 2021 berjumlah kira-kira RM160 juta.
“Pada masa depan, kami berharap dapat melaksanakan projek-projek ini selain memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan sejajar dengan pelan pemulihan kami bagi Tahun Kewangan 2021,” katanya dalam kenyataan itu.
Selain Hospital Shah Alam, syarikat juga terlibat dalam penyelenggaraan Institut Kanser Negara.
— BERNAMA