KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Walaupun terdapat penekanan baharu untuk meningkatkan hubungan dengan negara sekutu tradisi di Asia, dasar Amerika Syarikat (AS) terhadap China tidak mungkin berubah secara mendadak di bawah pentadbiran bakal Presiden Joe Biden, demikian menurut laporan baharu oleh Moody’s Investors Service (Moody’s).
Dengan pergeseran perdagangan yang berterusan, Biden tidak mungkin akan membatalkan langkah-langkah yang diambil oleh pentadbiran Trump terhadap China, kata penolong naib presiden dan penganalisis Nishad Majmudar dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa Moody’s berharap agar Biden menerima usaha Kesatuan Eropah baru-baru ini mengenai penggunaan pendekatan trans-Atlantik secara bersama terhadap China mengenai isu-isu tertentu, dan pada masa sama mencari bidang kerjasama dengan Presiden China Xi Jinping.
“Kami menjangkakan pendekatan pelbagai hala Biden terhadap China tidak akan menghentikan peralihan struktur yang sedang dilaksanakan, termasuk sekatan rantaian bekalan dan penyatuan ekonomi global menjadi tiga blok yang berbeza, dengan potensi kesan kredit negatif ke atas syarikat multinasional dan berorientasikan eksport,” tambah Majmudar.
Di luar China, beliau berkata dasar Biden mungkin lebih ke arah menyemak kembali pendekatan “pivot to Asia” yang diguna pakai oleh bekas presiden Barack Obama, bertujuan untuk meningkatkan hubungan diplomatik dan pelaburan dengan rantau itu.
Namun, peningkatan penglibatan Biden di Asia akan berhadapan cabaran daripada pemusatan China yang kian berkembang di rantau ini, dan boleh mengakibatkan negara-negara menghadapi pilihan antara memperkuat hubungan keamanan dengan AS atau mempererat hubungan ekonomi dengan China.
Sementara itu, kemungkinan tumpuan yang kian ketara terhadap inisiatif dasar iklim di bawah pentadbiran Biden akan meningkatkan risiko kredit jangka panjang untuk sektor perindustrian yang menonjol di kebanyakan negara Asia, terutamanya tenaga, automotif, minyak dan gas, dan keluli.
“Begitu juga, pengawal selia kewangan AS mungkin lebih cenderung mengikuti usaha Eropah ke arah penzahiran kewangan yang lebih besar mengenai risiko alam sekitar, yang boleh menimbulkan tekanan bagi pengawal selia Asia untuk ikut serta,” katanya.
— BERNAMA