KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia meneruskan peningkatan untuk hari ketiga berturut-turut hari ini, ditutup lebih kukuh, didorong oleh keuntungan besar dalam saham perbankan yang didahului oleh Public Bank.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 14.83 mata untuk ditutup pada 1,646.53 selepas bergerak antara 1,638.77 dan 1,654.15 sepanjang sesi urus niaga.
Indeks utama turut berlegar dalam zon positif pada keseluruhan urus niaga, disokong oleh sentimen pasaran positif yang bawa oleh berita mengenai vaksin COVID-19 dan harapan terhadap pakej rangsangan di Amerika Syarikat.
Public Bank menyumbang 10.59 mata kepada kenaikan indeks komposit selepas meningkat RM1.40 kepada RM19.86, dengan 19.84 juta saham bertukar tangan selepas pengumuman mengenai terbitan bonus bank berkenaan.
Untuk saham perbankan lain, Maybank meningkat 14 sen kepada RM8.38, Hong Leong mengembang 66 sen kepada RM18.88, RHB mengukuh 20 sen kepada RM5.80, Hong Leong Financial lebih tinggi sebanyak 40 sen kepada RM17.60 dan CIMB menokok 12 sen kepada RM4.05
Keuntungan yang diraih telah membantu mengukuhkan Indeks Perkhidmatan Kewangan yang melonjak 493.55 mata kepada 15,057.91.
Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 743 berbalas 524, sementara 433 kaunter tidak berubah, 439 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 11.88 bilion saham bernilai RM6.68 bilion daripada 11.26 bilion saham bernilai RM6.39 bilion pada Selasa.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata sentimen di pasaran dirangsang oleh perkembangan positif mengenai vaksin COVID-19 dengan United Kingdom menjadi negara Barat pertama memulakan kempen terhadap vaksinasi.
“Johnson & Johnson melaporkan ia boleh memperoleh keputusan percubaan peringkat akhir untuk satu dos pada Januari, lebih awal daripada jangkaan.
“Sementara itu, Pfizer Inc melepasi satu lagi halangan selepas pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat mengeluarkan dokumen yang menunjukkan tiada kebimbangan baharu,” kata beliau kepada Bernama
Beliau juga berkata kemudahan pinjaman BigPay AirAsia yang kemungkinan diluluskan tahun depan, turut membantu sentimen belian terhadap saham perbankan.
AirAsia X naik 1.5 sen kepada 8.5 sen tetapi AirAsia Group turun setengah sen kepada 87.5 sen.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga turun 12 sen kepada RM10.64, Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM7.67, dan Hartalega tidak berubah pada RM14.66.
Top Glove menyusut 25 sen kepada RM6.84 walaupun mencatatkan satu lagi rekod pada suku pertama tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Ogos, 2021, dengan keuntungan bersihnya melonjak 20 kali ganda kepada RM2.38 bilion daripada RM111.43 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Bagi saham paling cergas, XOX naik setengah sen kepada 11 sen, Sino Hua-An menokok satu sen kepada 12 sen dan AT Systematization turun setengah sen kepada 19 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 58.79 mata kepada 11,874.58, Indeks FBMT 100 meningkat 63.09 mata kepada 11,631.72 dan FBM ACE mengembang 82.55 mata kepada 10,940.14.
Bagaimanapun, FBM 70 merosot 80.07 mata kepada 15,287.47 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 93.45 mata kepada 13,506.43.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.69 mata kepada 176.21, tetapi Indeks Perladangan jatuh 8.69 mata kepada 7,361.02.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 7.31 bilion saham bernilai RM5.35 bilion daripada 6.96 bilion saham bernilai RM4.98 bilion pada hari Selasa.
Perolehan waran turun kepada 870.69 bilion unit bernilai RM148.21 juta daripada 912.33 bilion unit bernilai RM162.65 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.7 bilion saham bernilai RM1.18 bilion daripada 3.38 bilion saham bernilai RM1.25 bilion sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 2.1 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.72 bilion), pembinaan (454.85 juta), teknologi (282.86 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (161.8 juta), hartanah ( 676.46 juta), perladangan (111.73 juta), REIT (14.4 juta), dana tertutup (21,400), tenaga (1.16 bilion), penjagaan kesihatan (144.37 juta), telekomunikasi dan media (115.32 juta), pengangkutan dan logistik (319.51 juta) dan utiliti (56.11 juta).
– BERNAMA