KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia mengenepikan trend menurun pasaran serantau yang lain untuk ditutup tinggi petang ini, disokong oleh keuntungan membabitkan kaunter berwajaran tinggi, terutamanya Top Glove.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 8.81 mata untuk mengakhiri sesi petang pada 1,631.7.
Indeks utama kekal positif sepanjang hari, bergerak antara 1,624.95 dan 1,631.72.
Dengan menyumbang 7.79 mata kepada indeks komposit, Top Glove berjaya menyelamatkan Bursa Malaysia daripada menyertai rakan serantau yang lain, selepas meningkat 49 sen atau 7.42 peratus kepada RM7.09, dengan 85.25 juta saham bertukar tangan.
Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan untuk tempoh sukuan esok.
Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 652 berbalas 594, sementara 460 kaunter tidak berubah, 417 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Bercakap kepada Bernama, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata kebanyakan pelabur beralih ke kaunter saham mewah yang mempunyai permodalan lebih besar di celah-celah jangkaan pemulihan ekonomi berikutan pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 11.26 bilion saham bernilai RM6.39 bilion daripada 16.5 bilion saham bernilai RM7.23 bilion pada hari Isnin.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Hartalega naik 22 sen kepada RM14.66, IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM5.55 sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.60.
Maybank turun tiga sen kepada RM8.24, sementara Public Bank dan Tenaga masing-masing susut 14 sen kepada RM18.46 dan RM10.76.
Antara kaunter paling cergas pula, P.A. Resources dan AT Systematization masing-masing menokok setengah sen kepada 18.5 sen dan 19.5 sen, sementara Inix turun enam sen kepada 44 sen dan Metronic menyusut 1.5 sen kepada 11.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 53.46 mata kepada 11,815.79, Indeks FBMT 100 menambah 53.62 mata kepada 11,568.63 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 104.3 mata kepada 13,599.88.
FBM 70 meningkat 36.59 mata kepada 15,367.54 dan FBM ACE melonjak 210.43 mata kepada 10,857.69.
Sementara itu, Indeks Perladangan naik 12.99 mata kepada 7,369.71, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 64.02 mata kepada 14,564.36 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 175.52.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 6.96 bilion saham bernilai RM4.98 bilion daripada 10.94 bilion saham bernilai RM5.83 bilion pada hari Isnin.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 912.33 bilion unit bernilai RM162.65 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM175.02 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 3.38 bilion saham bernilai RM1.25 bilion daripada 4.49 bilion saham bernilai RM1.22 bilion sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 847.59 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (2.52 bilion), pembinaan (530.07 bilion), teknologi (459.56 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (158.02 juta), hartanah (1.04 bilion), perladangan (162.61 juta), REIT (9.31 juta), dana tertutup (26,800), tenaga (633.89 bilion), penjagaan kesihatan (139.83 juta), telekomunikasi dan media (57.04 juta), pengangkutan dan logistik (296.93 juta) dan utiliti (100.49 juta).
Sementara itu, urus niaga saham FGV Holdings Bhd telah digantung mulai jam 4.15 petang, sementara menunggu pengumuman penting.
“Oleh itu, waran berstruktur berkaitan dengan FGV turut digantung pada waktu yang sama,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
– BERNAMA