KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Jumlah penjualan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia meningkat kepada RM615.4 juta dalam tempoh Isnin sehingga Jumaat minggu lepas berbanding RM86.6 juta dalam tempoh yang sama minggu sebelumnya, kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.
Beliau berkata pada Isnin lepas, pelabur antarabangsa melupuskan sejumlah RM541.0 juta bersih ekuiti tempatan, aliran keluar asing harian tertinggi sejak Mei 2018 berikutan langkah pengimbangan semula indeks MSCI terkini.
Sehubungan itu, bulan November menyaksikan sejumlah RM1.1 bilion bersih aliran keluar asing, menandakan penjualan bersih asing yang ke-17 berturut-turut di Bursa Malaysia.
“Namun begitu, urus niaga hari pertama di bulan Disember bermula positif dengan pelabur asing mengambil kesempatan membeli ketika harga murah pada Selasa selepas jualan besar-besaran pada Isnin, sekali gus menyaksikan aliran masuk bersih asing berjumlah RM66.0 juta.
“Pemangkin lain untuk kegiatan pembelian bersih asing pada Selasa minggu lepas ialah aktiviti pengilangan di China yang meningkat dengan pesat dalam tempoh sedekad pada November, yang turut membantu kilang-kilang di seluruh rantau ini pulih daripada krisis COVID-19,” kata beliau kepada Bernama.
Pada Rabu pula, penjualan bersih asing berjumlah RM36.4 juta.
Sentimen pada Rabu bagaimanapun agak terjejas berikutan pengumuman Indeks Pembelian Pembuatan IHS Markit iaitu petunjuk komposit prestasi pembuatan yang merosot untuk bulan kelima berturut-turut, turun daripada 48.5 pada Oktober kepada 48.4 pada November.
Ini menandakan penyederhanaan seterusnya dalam sektor pembuatan walaupun trendnya nampak mereda sementara kemerosotan agak jauh berkurangan berbanding ketika dilihat semasa gelombang pertama pandemik.
Adam berkata pelabur antarabangsa kembali ke pasaran pada Khamis dengan menguasai RM41.4 juta bersih ekuiti tempatan, mengambil petunjuk daripada persetujuan Britain terhadap vaksin COVID-19 yang akan dilancarkan minggu ini.
Sementara itu, Indeks Tenaga Bursa Malaysia adalah yang paling untung dengan meraih 4.4 peratus dalam kalangan indeks sektoral pada Khamis, terutama menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang akan membuat keputusan akhir mengenai jumlah pengurangan pengeluaran minyak selepas beberapa hari menemui jalan buntu.
Pada Jumaat pula menyaksikan pelabur antarabangsa meningkatkan aktiviti penjualan bersih mereka kepada paras melebihi RM100 juta iaitu RM145.4 juta di tengah-tengah kegelisahan yang tercetus daripada pergolakan politik di Perak selain daripada keputusan OPEC untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 500,000 juta tong sehari mulai Januari, 2020.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga Bursa Malaysia memperoleh peningkatan terbanyak iaitu 7.5 peratus hari ini kerana 500,000 juta tong sehari hanya mewakili 1.0 peratus daripada pasaran minyak global.
Berdasarkan jumlah dari awal tahun sehingga kini, pelabur asing telah mengeluarkan sejumlah RM24.1 bilion bersih ekuiti tempatan pada 2020.
Dari segi penyertaan pelabur asing, nilai purata dagangan harian dalam tempoh Isnin hingga Jumaat melonjak kepada RM2.6 bilion, dipacu terutamanya oleh pengimbangan semula indeks MSCI.
Dalam kalangan rakan serantau ASEAN, aliran keluar asing Malaysia sehingga kini kekal kedua terbesar selepas Thailand.
— BERNAMA