KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka ditutup pada paras 1,620 mata pada 2020 dan seterusnya menguji paras 1,770 mata pada 2021, didorong oleh pendapatan korporat yang kian baik serta mod pemulihan berterusan di tengah-tengah perkembangan positif vaksin COVID-19.
Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata dengan ketersediaan vaksin yang nampak nyata, mod pemulihan diunjurkan berterusan dengan sektor berkaitan kewangan, perladangan dan pelancongan berada di barisan hadapan.
“Kami membayangkan kehendak risiko pelabur akan meningkat dan dengan yang demikian, ekuiti akan kekal menjadi kelas aset pilihan kerana persekitaran kadar faedah yang rendah akan terus kekal semasa pemulihan ekonomi global berjalan.
“Bergerak ke hadapan, kami menjangkakan China akan mengetuai Asia kerana pentadbiran AS yang baharu dilihat sebagai rakan perniagaan yang lebih baik berbanding ketika pentadbiran Presiden AS Donald Trump,” katanya ketika taklimat media maya mengenai tinjauan pasaran untuk 2021 bertajuk “Beyond the COVID-19 Horizon” di sini hari ini.
Yee turut maklum penyesuaian semula saham secara meluas akan diteruskan dengan syarikat berkaitan kewangan, perladangan akan memimpin mod pemulihan.
Sektor perbankan telah menjadi enjin pertumbuhan dan dalam kesemua pemulihan, sektor ini seharusnya mendapat manfaat, kata beliau sambil menambah pilihan utama Rakuten ialah Maybank, Public Bank dan Hong Leong Bank sementara yang agak ketinggalan, Affin Bank juga kelihatan baik.
Bagaimanapun, beliau berkata sektor pilihan utama Rakuten tahun depan ialah perladangan meskipun pasaran masih lagi bimbang mengenai kemampanan harga tinggi minyak sawit mentah (MSM).
“Perladangan akan menjadi seperti sektor sarung tangan tahun depan. Pada hari-hari terawal sarung tangan getah, pelabur tidak percaya ia boleh bertahan pada harga tinggi sedemikian.
“Untuk perladangan, keputusan syarikat-syarikat perladangan pada suku ketiga baru-baru ini amat baik berdasarkan kepada harga MSM pada RM2,600 setan metrik.
“Dengan harga semasa MSM sekitar RM3,300 setan metrik, bahkan, kalau dikurangkan kepada 3,000 sekalipun, tempoh dua suku berikutnya ialah pada harga purata sekitar RM2,800 hingga RM3,000 setan metrik yang mana keuntungan dan perolehan masih ada,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Yee berkata baki pegangan saham asing di Bursa Malaysia memperlihatkan kemungkinan berlaku satu lagi aliran keluar asing bersih secara besar-besaran dan oleh itu, kecenderungan aliran masuk asing bersih pada 2021 adalah tinggi.
Beliau berkata ini adalah berikutan jumlah mudah tunai atau kecairan yang banyak dalam pasaran ekuiti dan kebanyakannya menuju ke Asia dengan destinasi utama ialah China dan Hong Kong dengan Malaysia mendapat manfaat daripada aliran berkenaan.
Mengenai prestasi ringgit tahun depan, beliau berkata Rakuten menyasarkan mata wang tempatan itu akan mengukuh ke RM3.80/90 tahun depan.
Beliau berkata memandangkan pentadbiran baharu AS dilihat lebih stabil, mata wang serantau, terutamanya Renminbi China (RMB/USD) dijangka mengukuh berbanding dolar AS.
“Oleh kerana pergerakan ringgit berbanding dolar AS adalah yang paling hampir dengan RMB/USD, kami mengunjurkan mata wang tempatan akan mengukuh berbanding dolar AS.
“Kemasukan dana asing berpotensi menjadi pemangkin kuat untuk ringgit, diikuti dengan pengukuhan minyak mentah kerana Brent dijangka mencecah US$60 setong. Dan dengan perkembangan positif vaksin, ia memberi harapan kepada pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pemulihan ekonomi global,” kata beliau.
Yee berkata penyertaan runcit di bursa tempatan juga dijangka kekal rancak dan akan bertambah baik.
“Setakat ini, aliran dana ke bursa tempatan daripada peruncit tempatan telah meningkat hampir empat kali ganda berbanding 2019 kepada purata RM12.19 bilion daripada RM2.56 bilion.
“Justeru, bursa tempatan telah mengalami lonjakan dalam purata jumlah dagangan harian sebanyak 7.0 bilion saham (Feb-sehingga kini) daripada 2.5 bilion saham pada 2019 (+179 peratus),” kata beliau.
— BERNAMA