KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan tekanan jualan yang berterusan, sejajar dengan prestasi kebanyakan bursa serantau.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.16 mata kepada 1,622.10 daripada 1,628.26 semasa ditutup pada Khamis, didorong oleh kaunter berkaitan penjagaan kesihatan dan perladangan.
Indeks dibuka rendah 0.35 mata kepada 1,627.91, dan berada antara 1,628.82 dan 1,618.75 sepanjang sesi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 701 berbanding 473, manakala 427 kaunter tidak berubah, 532 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 8.85 bilion unit bernilai RM3.64 bilion.
Pasaran serantau kebanyakannya rendah dengan Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.16 peratus kepada 26,686.54 dan Indeks SSE Shanghai merosot 0.35 peratus kepada 3,430.03, manakala Indeks Straits Times Singapura naik 0.33 peratus kepada 2,831.59.
CGS-CIMB berkata Disember telah menjadi bulan yang positif untuk FBM KLCI dan menjangka trend yang sama akan berterusan pada tahun ini berdasarkan keyakinan terhadap pendapatan korporat dan prospek pertumbuhan ekonomi dengan terdapat vaksin COVID-19 pada 2021.
“Sasaran KLCI akhir tahun 2020 kami sebanyak 1,628 mata menunjukkan KLCI akan mencatatkan kenaikan 4.2 peratus bulan ke bulan pada Disember.
“Jika sasaran dicapai, ini akan membawa kepada kenaikan 2.5 peratus daripada 1,589 mata pada 2019,” katanya dalam nota.
Katanya perkembangan penting yang perlu diberi perhatian pada Disember ialah pembangunan vaksin COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, serta undian akhir bagi Belanjawan 2021 minggu depan.
Sementara itu, seorang penganalisis berkata kebanyakan kaunter berkaitan penjagaan kesihatan merosot berikutan optimisme mengenai vaksin COVID-19 mempengaruhi sentimen terhadap saham sarung tangan seperti yang dapat dilihat dalam Top Glove, Hartalega dan Supermax, yang tidak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada FBM KLCI.
Beliau berkata pelabur dilihat beralih kepada saham seperti kewangan dan hartanah.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, tujuh kaunter positif, manakala yang lain kebanyakannya rendah.
Top Glove merosot 15 sen kepada RM6.63, IHH susut sembilan sen kepada RM5.41 dan Hartalega berkurangan 16 sen kepada RM14.50.
Petronas Gas susut 10 sen kepada RM17.32 dan Telekom Malaysia turun 20 sen kepada RM5.17.
Dalam kalangan saham cergas, Yong Tai meningkat enam sen kepada 35.5 sen, Ho Wah naik 11.5 sen kepada 96 sen, manakala Metronic menambah dua sen kepada 14 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 28.43 mata kepada 11,729.41, Indeks FBMT 100 merosot 28.91 mata kepada 11,483.23 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 80.72 mata kepada 13,456.76.
FBM 70 naik 19.07 mata kepada 15,186.45 dan FBM ACE berkurangan 27.04 mata kepada 10,711.68.
Sementara itu, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.55 mata kepada 172.40, Indeks Perladangan jatuh 28.60 mata kepada 7,345.55, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 43.9 mata kepada 14,591.77.
— BERNAMA