KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd dan SCIB International (Labuan) Ltd menerima dua kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM271.14 juta.
SCIB dalam satu kenyataan hari ini berkata kontrak tersebut diterima daripada Dermaga Makmur Sdn Bhd untuk membina sekolah baharu dengan 12 bilik darjah, enam unit kediaman guru dan kemudahan lain di Sekolah Kebangsaan Kalor, Betong, Sarawak dengan anggaran nilai RM18.3 juta dan dijangka siap pada Mac 2022.
Manakala kontrak kedua, diberikan oleh Pavilion Qatar Engineering Co. W. L.L., bagi projek kerja awam – projek api air (47,000 meter), di stesen janakuasa Ras Laffan Industrial City di Qatar bernilai US$62 juta (bersamaan RM252.84 juta) dan dijangka siap pada November 2021.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SCIB Group Rosland Othman berkata projek-projek berkenaan telah meningkatkan nilai perolehan kontrak kumpulan itu kepada RM1.7 bilion sekali gus mencapai sasaran nilai perolehan kontrak dalaman berjumlahn RM1.5 bilion bagi 2020.
“Kejayaan mendapatkan kontrak ini diharapkan dapat meningkatkan pendapatan kami bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
“Kami berharap dapat meraih projek tempatan lain pada tahun akan datang yang membolehkan kami melaksanakan lebih banyak pembangunan infrastruktur untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya.
— BERNAMA