KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — AirAsia X Bhd menjangka keputusan mengenai skim pengaturan yang sedang dilaksanakan di bawah langkah penstrukturan semula hutangnya untuk menyuntik ekuiti baharu, hanya akan diketahui menjelang akhir Jun tahun depan.
Syarikat penerbangan tambang rendah untuk jarak jauh itu berkata demikian ketika mengumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa ia telah mengubah tahun kewangan berakhirnya kepada 30 Jun 2021 daripada 31 Dis 2020.
AirAsia X berkata keputusan berkenaan tidak akan diketahui pada bulan ini, oleh itu, asas bagi menyediakan penyata kewangan beraudit (AFS) dan pendapat audit adalah belum pasti dan AFS itu akan mempunyai nilai terhad kepada pemegang saham.
“Pada 30 Jun 2021, keputusan daripada skim ini dijangka akan diketahui, jadi, ada asas yang lebih jelas bagi penyediaan AFS yang akan menjadi lebih bernilai kepada para pemegang saham,” kata syarikat penerbangan itu.
Pada 6 Oktober, AirAsia X Bhd mencadangkan pelan penstrukturan semula yang akan membolehkan syarikat penerbangan itu beroperasi semula sepenuhnya di tengah-tengah sekatan perjalanan global akibat pandemik COVID-19.
Langkah penstrukturan semula itu merangkumi pelantikan Datuk Lim Kian Onn sebagai timbalan pengerusi bagi mengetuai inisiatif penstrukturan semula dan memudahkan suntikan ekuiti yang baharu.
— BERNAMA