KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilihat meningkatkan perbelanjaan secara berhemat pada masa depan berikutan lembaran imbangan dan pendapatan yang merosot sedikit, serta peningkatan kepada komitmen pembayaran dividen, menurut Kenanga Investment Bank.
Katanya ini akan membawa kepada tahap aktiviti yang lebih rendah dan akan memberi impak kepada kontraktor tempatan yang mendapat kebanyakan pendapatannya di Malaysia seperti Dayang Enterprise Holdings Bhd, Uzma Bhd dan Velesto Energy Bhd.
“Bagaimanapun, kami menyedari asas untuk pasaran minyak global masih lemah pada masa ini, dan penggiat di peringkat antarabangsa turut dijangka menyaksikan keseluruhan aktiviti yang rendah pada masa ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Petronas mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.4 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM7.4 bilion pada suku tahun sama tahun lepas, berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah.
Kerugian susut nilai yang lebih tinggi ke atas aset dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi berikutan penyahiktirafan aset cukai tertunda, terutamanya berikutan unjuran harga minyak dan gas yang lebih rendah, turut menjejaskan prestasi kewangannya.
Kumpulan itu mencatatkan perolehan berjumlah RM41.1 bilion, berkurangan 25 peratus daripada RM55.1 bilion pada suku tahun sama tahun lepas, terutamanya disebabkan purata harga direalisasi yang rendah untuk produk utama.
Kenanga berkata kedudukan tunai bersih Petronas susut 17 peratus suku ke suku kepada RM61 bilion pada suku ketiga 2020.
Setakat ini pada tahun ini, kedudukan tunai bersih kumpulan telah merosot sebanyak 25 peratus sejak akhir tahun kewangan 2019.
“Ini agak membimbangkan, terutamanya berdasarkan pada awal bulan ini telah diumumkan bahawa Petronas akan membayar dividen tambahan sebanyak RM10 bilion kepada kerajaan Persekutuan, selain dividen biasa sebanyak RM24 bilion, dalam usaha memerangi cabaran disebabkan pandemik COVID-19,” menurut Kenanga.
Katanya Petronas telah membayar sepenuhnya dividen biasa sebanyak RM24 bilion, dan RM2 bilion daripada dividen khas RM10 bilion.
Baki RM8 bilion dijangka akan dibayar pada suku keempat 2020.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Petronas telah diminta untuk membayar dividen khas. Tahun lepas, Petronas telah membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion pada tahun kewangan 2019, menjadikan dividen pada tahun itu sebanyak RM54 bilion, katanya.
“Kami percaya komitmen berterusan untuk dividen yang lebih tinggi boleh menghalang pemulihan sektor ini di peringkat tempatan, terutamanya berdasarkan trend global penurunan dividen dalam kalangan syarikat minyak antarabangsa yang lain,” katanya.
Kenanga mengekalkan saranan neutral, walaupun, dalam trajektori pemulihan, kadar pemulihan dijangka perlahan dan berperingkat berikutan asas sektor ini yang masih lemah.
“Oleh itu, kami tidak menjangka untuk menyaksikan tahap aktiviti akan kembali kepada paras pada 2019 sekurang-kurangnya hingga 2023,” katanya.
Oleh itu, Kenanga mencadangkan pelabur yang berminat untuk mengguna pakai pendekatan dagangan terhadap sektor ini (berbeza dengan strategi pelaburan yang didorong secara asas), memilih nama dengan perbezaan standard yang tinggi untuk memanfaatkan galakan sentimen semasa berikutan aliran berita yang positif mengenai perkembangan vaksin COVID-19 baru-baru ini.
Kenanga berkata pilihan dagangannya termasuklah Uzma, Dayang dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Bhd, dengan pendirian kepada pengambilan untung ke atas sebarang keuntungan yang besar dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
— BERNAMA