KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Malakoff Corporation Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept 2020 susut kepada RM50.80 juta daripada RM94.49 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehannya bagi suku di bawah kajian itu turut turun 20.2 peratus kepada RM1.48 bilion daripada RM1.86 bilion pada tahun sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata kemerosotan perolehan itu terutamanya disebabkan bayaran tenaga lebih rendah daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd ekoran faktor penghantaran yang rendah, selain penurunan harga arang batu sebenar (ACP) daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd.
Bagaimanapun, menurutnya, ini sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan perolehan daripada Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat yang baharu diambil alih.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan prestasi keseluruhannya kekal memuaskan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis 2020.
Katanya, pengumuman dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini mengenai perkembangan projek pengagihan bekalan elekrik di kawasan luar bandar dan lanjutan skim pembiayaan berjumlah RM2 bilion dalam teknologi hijau adalah sesuatu yang baik kepada syarikat tenaga.
Malah, peruntukan besar sebanyak RM500 juta untuk perkhidmatan alam sekitar dan pengurusan sisa mewujudkan peluang perniagaan kepada Alam Flora.
Syarikat itu berkata, ia juga akan memperluaskan kedudukannya dalam pengurusan sisa menerusi penglibatan dalam loji sisa kepada tenaga, biogas dan tenaga biojisim.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan ketidaktentuan yang meningkat terhadap kepantasan pemulihan ekonomi, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan untuk menambah baik kecekapan operasi lojinya dan langkah penjimatan kos dalam tempoh yang mencabar ini.
— BERNAMA