KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia terus mencatatkan kerugian ketika mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan kebimbangan berterusan dalam kalangan pelabur terhadap kesan peningkatan kes COVID-19 ke atas perniagaan serta sesi undian untuk Belanjawan 2021 yang akan diadakan di Parlimen Khamis ini.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 9.75 mata kepada 1,587.73 daripada 1,597.48 ketika ditutup semalam.
Kaunter rugi mengatasi untung dengan 874 berbalas 245 manakala 409 kaunter tidak berubah, 648 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 5.46 bilion saham bernilai RM2.40 bilion.
Antara indeks, Pasaran ACE muncul yang paling kerugian, merosot 4.62 peratus sementara kategori saham teknologi mencatatkan aliran keluar tertinggi.
Antara 30 kaunter indeks FBM KLCI, Top Glove turun 45 sen kepada RM6.90, Petronas Dagangan susut RM1.02 kepada RM22.08 dan Hap Seng Consolidated lebih rendah 19 sen kepada RM8.30.
Top Glove menyaksikan kejatuhan paling ketara sejak dibuka pagi ini kerana penutupan kilang pembuatannya selepas sebahagian besar pekerjanya dijangkiti COVID-19.
Dalam kalangan saham paling cergas, Pegasus Heights tidak berubah pada 30 sen, Vivocom turun 36 sen kepada 86 sen, dan P.A Resources jatuh satu sen kepada 14 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 84.13 mata pada 11,406.54, Indeks FBMT 100 susut 79.34 mata kepada 11,195.25, Indeks FBM Emas Shariah merosot 138.45 mata kepada 13,131.19 dan FBM 70 lebih rendah 145.27 mata kepada 14,631.30.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.49 mata pada 158.39, Indeks Perladangan merosot 27.55 mata kepada 7,313.81 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 24.22 mata kepada 13,994.96.
– BERNAMA