KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Pharmaniaga Bhd melonjak kepada RM1.44 juta dalam suku ketiga berakhir 30 Sept 2020 daripada RM481,000 yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2019 berikutan permintaan yang lebih baik untuk peralatan perlindungan diri.
Bagaimanapun, perolehan merosot kepada RM624.80 juta daripada RM716.85 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata pada sembilan bulan prestasi 2020, syarikat farmaseutikal itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM33.82 juta, naik 14 peratus berbanding RM29.38 juta pada sembilan bulan pertama 2019.
“Ini dicapai di belakang sumbangan perniagaan bukan konsesi yang lebih kukuh, terutamanya oleh jualan peralatan perlindungan diri yang lebih tinggi sebagai tindak balas kepada wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat kekal fokus untuk meningkatkan operasi di seluruh bahagian kumpulan dan optimis terhadap rancangan strategiknya bagi memperluaskan prospek dengan meningkatkan kecekapan pembuatan serta operasi; kemajuan dalam usaha penyelidikan dan pembangunan serta merebut peluang yang berdaya maju untuk pertumbuhan.
“Sehingga ke hari ini, kumpulan terus mengembangkan perniagaan vaksinnya. Projek vaksin Halal kumpulan sedang mencatatkan kemajuan yang baik dan telah mendapat kelulusan, ia dimulakan dengan vaksin ‘Conjugate Pneumococcal’ yang diusahakan secara bersama dengan Serum Institute of India Private Ltd, sebuah syarikat farmaseutikal dan bioteknologi India yang terkemuka,” katanya.
Sementara itu, persediaan untuk proses pengisian dan kemasan vaksin COVID-19 sedang berjalan lancar, dengan pelan bagi menggunakan semula kilang suntikan milik kumpulan.
Syarikat itu juga sedang meneroka kerjasama dengan rakan kongsi lain yang berpotensi untuk memastikan penyampaian vaksin yang selamat dan berkesan bagi menyokong rancangan vaksinasi kerajaan.
“Prospek bagi sektor penjagaan kesihatan telah diperkukuhkan oleh Belanjawan 2021, yang mana sejumlah RM1 bilion telah diperuntukkan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
“Ini termasuk pembelian reagen, kit ujian dan bahan pakai buang untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perlindungan diri dan cecair sanitasi bagi petugas barisan hadapan KKM termasuk peralatan, bekalan makmal dan ubat-ubatan untuk hospital yang menjadi medan pengajaran universiti,” katanya.
Memandangkan rekod prestasinya yang kukuh dalam logistik dan pengedaran serta kemudahan pembuatan halalnya, Pharmaniaga berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan ini.
Melangkah ke hadapan, Zulkarnain berkata prospek sektor penjagaan kesihatan dijangka positif pasca COVID-19, sambil menambah produk farmaseutikal generik berkemungkinan akan mengekalkan kepentingan mereka sebagai penyelesaian penjagaan kesihatan yang berkesan dan menjimatkan.
“Pharmaniaga bersedia untuk memanfaatkan peluang di Malaysia dan pasaran luar negara bagi memastikan pertumbuhan kumpulan yang mampan pada tahun-tahun akan datang.
“Kami menjangkakan momentum ini akan berterusan dalam tempoh lima tahun akan datang, walaupun pandemik COVID-19 dan sekatan mungkin membentangkan beberapa ketidaktentuan dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.
— BERNAMA