KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Kegiatan pembelian berterusan membabitkan terutamanya kaunter berwajaran tinggi menyaksikan Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi, walaupun pasaran serantau yang lain menunjukkan sentimen bercampur-campur.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 13.04 mata kepada 1,596.72 selepas bergerak antara 1,579.49 dan 1,597.47 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 612 berbalas 389, sementara 465 kaunter tidak berubah, 705 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.84 bilion saham bernilai RM2.75 bilion.
Seorang peniaga berkata pelabur masih terus bimbang terutamanya dengan kemunculan semula kes COVID-19 di beberapa negara di rantau Asia walaupun sudah ada perkembangan positif vaksin untuk pandemik itu.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 9.0 sen kepada RM8.19, Top Glove meningkat 37 sen kepada RM7.31, Petronas Chemicals menokok 4.0 sen kepada RM6.81, sementara Public Bank dan TNB, masing-masing menyusut 6.0 sen kepada RM18.32 dan RM11.18,.
Kaunter paling cergas, AT Systematization meningkat 1.5 sen kepada 19.5 sen, Southern Cable menokok 6.0 sen kepada 39.5 sen, NETX naik 1.0 sen kepada 14.5 sen dan Pasukhas untung setengah sen kepada 8.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 101.22 mata pada 11,478.20, Indeks FBMT 100 menambah 98.83 mata kepada 11,260.03 dan FBM 70 melonjak 155.99 mata kepada 14,721.33.
Sementara itu, Indeks FBM Emas Shariah melambun 153.34 mata kepada 13,233.23 dan FBM ACE meningkat 19.27 mata kepada 11,159.95.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.30 mata kepada 159.69, Indeks Perladangan naik 13.03 mata kepada 7,362.02, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 42.20 mata kepada 14,049.33.
– BERNAMA