KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) — Rakan kongsi Bintai Kinden Corporation Bhd, Generex Biotechnology Corporation memeterai Perjanjian Pelesenan dan Pembangunan bernilai US$50 juta dengan konsortium rakan kongsi di China bagi teknologi platform vaksin li-Key.
Teknologi tersebut dimiliki oleh anak syarikat Generex, NuGenerex Immuno-Oncology Inc.
Pengarah Urusan Bintan Kinden, Ong Choon Lui berkata kerjasama antara Generex dan rakan kongsinya di China akan menyokong platform pembangunan vaksin li-Key.
Beliau berkata perjanjian tersebut menggabungkan projek platform Ii-Key yang pertama untuk pembangunan dan pengkomersialan vaksin koronavirus li-Key-SARS-CoV-2 di China.
Ia juga menggabungkan yuran pelesenan pendahuluan bernilai US$5 juta, pembiayaan 100 peratus untuk pembuatan, pembangunan dan pendaftaran komersial, yuran kejayaan bernilai US$20 juta untuk kelulusan COVID-19 di China dan pembayaran royalti untuk jualan vaksin COVID-19 di China dengan potensi mencecah beberapa bilion dolar, katanya.
“Vaksin COVID-19 adalah produk pertama di bawah lesen platform li-Key ini.
“Ini memberi prospek yang baik kepada Bintai Kinden kerana kami mempunyai hak eksklusif untuk mengedar, menjual dan mengkomersialkan vaksin COVID-19 di Malaysia, Brunei, Myanmar, Kemboja, TimorLeste, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan.
Ong berkata Bintai Kinden juga telah diberi hak penolakan pertama untuk mengedar dan memasarkan vaksin di Australia, New Zealand dan pasaran halal global.
Vaksin COVID-19 dibangunkan sebagai ‘vaksin yang lengkap’ mempunyai potensi mendorong tindak balas imun T-Cell dan antibodi dengan cara yang amat spesifik yang dapat memberikan imuniti pelindung dengan ingatan imunologi berpanjangan terhadap virus yang boleh membawa maut dan ancaman pandemik lain.
— BERNAMA